KUALA LUMPUR - Isu penggunaan ‘vape’ dalam kalangan pelajar sekolah nampaknya semakin membimbangkan apabila murid sekolah rendah juga kini dilapor telah mula berjinak-jinak menggunakan peranti rokok elektronik itu secara terbuka.
Foto seorang pelajar perempuan yang masih dalam pakaian sekolah sedang menghisap vape di sebuah perhentian bas yang tular di media sosial baru-baru ini serta pelbagai pendedahan mengenai penularan gejala itu, termasuk dakwaan vape diedar secara percuma kepada golongan pelajar oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab mencetus kegusaran masyarakat.
Mengulas isu itu, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Datuk Sabuddin Sani mengakui walaupun gejala itu masih pada skala terkawal, namun tindakan proaktif perlu diambil segera oleh semua pihak terutama ibu bapa untuk menangani isu berkenaan.
"Anak-anak keliru dengan apa yang diajar dan apa yang mereka lihat kerana di sekolah cikgu mengajar bahawa rokok itu membahayakan kesihatan, tetapi di rumah, ayah sendiri yang menghisap rokok secara tidak langsung ibu bapa menunjukkan contoh yang tidak baik.
"Kelonggaran dari sistem keluarga itu antara puncanya, jadi ibu bapa haruslah menjadi suri teladan dan bukan hanya menyalahkan anak-anak apabila mereka mula terjebak dengan perkara negatif sebegini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Azman turut berkongsi kegusarannya apabila pernah ditanya oleh anaknya untuk memiliki peranti berkenaan.
"Budak-budak ingatkan vape itu ialah gajet permainan terbaharu, malah saya terkejut apabila baru-baru ini anak lelaki saya yang berusia 13 tahun turut meminta izin untuk memilikinya... menurut beliau, ada rakan-rakannya mula mengumpul duit selama tiga bulan untuk membeli vape yang berharga RM80.
"Jadi tugas ibu bapa adalah untuk sentiasa menegur perbuatan mereka dan pastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan orang yang salah,” kata Azman.
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata pihak pengurusan sekolah perlu terus menjadikan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 17 Tahun 2015 sebagai garis panduan untuk menangani masalah-masalah disiplin berat seperti penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah.
"Mengikut surat siaran itu, menghisap vape dikategorikan sebagai salah satu kesalahan disiplin berat dan hukuman bagi kali pertama, pelajar yang terlibat akan diberi kaunseling dahulu, bagi kesalahan kali kedua, mereka boleh digantung sekolah tidak melebihi 14 hari.
"KPM sendiri telah mengambil langkah dari awal lagi dan saya percaya sekiranya semua pihak bekerjasama maka kita dapat mengatasi isu ini dari terus merebak dan menjadi wabak di masa akan datang,” katanya.
Selain KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diketuai Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye turut mengambil inisiatif dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas pada 27 Jun lalu bagi mengawal penggunaan rokok elektronik dan vape, yang juga memberi fokus kepada usaha menangani penjualan alat tersebut kepada pelajar sekolah.
Dr Lee berkata jawatankuasa itu akan menjalankan tugasnya secepat mungkin dan merangka rang undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan rokok elektronik dan vape yang dijangka dibentangkan akhir tahun ini atau tahun hadapan.- Bernama