Sejagat Global pertaruh misi besar

Iklan
ABDULLAH SALLEH
BIASANYA produk kecantikan dan kesihatan begitu sinonim dengan usahawan wanita.

Namun, berlainan pula dengan Sejagat Global Sdn Bhd (Sejagat Global), syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Bumiputera ini.

Ia diterajui oleh dua lelaki yang juga sahabat baik berasal dari Sungai Besar, Selangor.

Bagaimanapun, mereka mempunyai sebab yang tersendiri mengapa memilih untuk terlibat dalam bidang perniagaan itu.

Selain mempunyai permintaan tinggi, mereka yakin usaha menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan dapat membantu mereka melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan.

Tanpa diduga usaha yang dilakukan pemilik syarikat itu, Mohd Zahid Mohd Zaki dan Abdullah Salleh Zubir mendatangkan hasil sehingga meletakkan mereka sebagai usahawan yang berjaya dalam industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan Asia Tenggara.

Kini, kedua-dua mereka boleh berbangga dengan usaha yang dilakukan selama ini.

Sejagat Global yang ditubuhkan lapan tahun lepas bukan sahaja menghasilkan lebih 80 produk kecantikan dan kesihatan, malah mereka juga memiliki farmasi sendiri iaitu Woow Pharmacy.

Sejagat Global pertaruh misi besar

Sejagat Global Sdn Bhd (Sejagat Global) mempunyai misi yang besar untuk memastikan kekal relevan dan berdaya saing sebaris dengan jenama produk kecantikan dan kesihatan lain.

Sebagai sebuah syarikat yang dimiliki Bumiputera, Sejagat Global mahu menghasilkan produk pioneer yang boleh menjadi trendsetter dalam segmen tersebut.

Mengimbas kembali permulaan perniagaan yang diterajui oleh Mohd Zahid dan Abdullah Salleh itu, segalanya bermula ketika mereka bertemu dalam satu majlis ilmu di sebuah masjid pada bulan Ramadan sekitar lapan tahun lalu.

"Kami sekampung dari Sungai Besar, Selangor dan pertemuan itu adalah secara kebetulan.

"Namun, ia menjadi titik permulaan kerjasama kami dalam menerajui Sejagat Global,” kata Mohd Zahid kepada Sinar Harian.

Melihatkan kedua-dua susuk tubuh berusia 29 tahun itu, keakraban dan sikap profesional dipercayai menjadi kunci utama yang membantu mereka menentukan hala tuju syarikat dikendalikan itu.

"Kami sangat profesional ketika bekerja dan mengutamakan masa depan syarikat.

"Sekiranya mempunyai perbezaan pendapat, kami akan berbincang. Akhirnya persefahaman dicapai dan kami sentiasa bantu-membantu di antara satu sama lain,” katanya.

Raih pendapatan lumayan

Mohd Zahid berkata, di peringkat permulaan, tidak ramai individu yang terlibat dalam perniagaan diterajui mereka itu.

Justeru, beliau dan Abdullah Salleh mengambil peluang terhadap keberadaan platform berkenaan.

"Tanpa banyak persaingan, kami mencatat pelbagai kejayaan pada tahun 2013. Kami memperkenalkan produk penjagaan kesihatan khusus untuk wanita dan ia melonjakkan nama syarikat, sekali gus membolehkan Sejahtera Global meraih pendapatan lumayan.

"Kami mencatatkan jualan sehingga RM1.5 juta setahun pada ketika itu, sekali gus menjadi suntikan semangat kepada kami untuk terus agresif dan menguasai perniagaan online dengan pelan perancangan untuk melancarkan banyak produk baharu di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Salleh berkata, faktor langkah yang disusun tepat pada waktunya itu memberikan kejayaan kepada mereka sehingga nama Sejagat Global meraih lonjakan luar biasa.

Tambahnya, impian mereka untuk membantu penduduk di luar bandar terlaksana apabila syarikat berkenaan berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di Sungai Besar.

"Kebanyakan usahawan kami terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

"Sebagai menghargai sokongan mereka, kami memberikan semula kepada mereka, terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dengan mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama mereka,” katanya.

Mengalami kerugian besar

Seperti kebanyakan usahawan lain, Sejagat Global juga tidak terlepas dengan pelbagai cabaran malah mereka juga pernah mengalami kerugian besar.

Namun, perkara tersebut sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk meneruskan apa yang telah mereka kerjakan.

Mohd Zahid berkata, sebelum mencipta pelbagai kejayaan, Sejagat Global pernah melalui fasa kepayahan apabila lima produk yang dihasilkan tidak mendapat sambutan.

"Pada ketika itu kami melabur kira-kira RM200,000 untuk hasilkan produk berkenaan tetapi tidak menjadi.

"Tapi kami tidak patah semangat malah menjadikan kegagalan tersebut sebagai dorongan supaya lebih kreatif dan agresif untuk memperkenalkan dan menjenamakan produk di pasaran,” katanya.

Katanya, nama mereka hanya menjadi perhatian apabila produk keenamnya yang dihasilkan iaitu barangan khusus untuk penjagaan kesihatan dalaman wanita tular.

Sejak itu, mereka terus maju ke depan tanpa menoleh ke belakangan lagi sehingga mampu memiliki kira-kira 80 jenis produk kesihatan dan kecantikan.

Tidak cukup dengan itu, Sejagat Global juga berjaya mendirikan dua buah kilang pengeluaran peralatan asal (OEM) di kampung halaman mereka dengan nilai pelaburan RM2.5 juta.

"Kilang pertama dibuka pada 2016 untuk memenuhi kapasiti pengeluaran permintaan pelanggan. Kilang kedua kami pula dibuka pada pertengahan tahun lalu,” katanya.

Jualan naik hingga 30 peratus Seiring dengan perkembangan industri diceburi, syarikat berkenaan kini terlibat dalam pengeluaran produk kesihatan, kosmetik, suplemen dan herba tradisional dengan pertumbuhan jualan antara 20 hingga 30 peratus setahun.

Mohd Zahid berkata, sebanyak 60 peratus daripada jualan syarikat disumbangkan daripada segmen produk penjagaan kesihatan dan suplemen.

"Syarikat bakal mengeluarkan 100 produk baharu bagi setiap kategori yang terdiri daripada penjagaan kesihatan dan suplemen, kosmetik, produk herba tradisional menjelang akhir tahun ini.

"Pengeluaran produk ini bertujuan untuk memenuhi gaya hidup, membantu menyelesaikan permasalahan kesihatan masyarakat masa kini dan meningkatkan kualiti kesihatan diri pelanggan dari kepala hingga kaki,” katanya.

Tambahnya, Sejagat Global menjangkakan sebanyak 60 peratus produk baharu itu bakal berada di pasaran pada tahun ini, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan syarikat meskipun negara berdepan dengan keadaan ekonomi tidak menentu.

"Untuk mengukuhkan kedudukan Sejagat Global, kami membuka cawangan di Brunei pada tahun lalu. Kami juga mempunyai empat farmasi sendiri dan akan memfokuskan perniagaan yang diceburi ini dalam segement e-dagang,” katanya.

Mahu kekal relevan

Melalui pengalaman, kemahiran dan bantuan pakar farmasi di kilang Sejagat Global yang menjalankan kajian dan pembangunan terhadap sesuatu produk baharu, ia membantu strategi syarikat untuk terus kekal relevan.

Selain itu, Ahmad Zahid dan Abdullah Salleh turut berkeyakinan dengan menawarkan produk yang berkualiti tinggi dengan harga mampu milik di pasaran ia akan memacu kepada permintaan tinggi terhadap sesuatu produk.

"Kini syarikat mempunyai seramai 250 kakitangan. Kami optimis kekuatan tersebut akan mengubah syarikat bertaraf PKS kepada korporat yang berjaya bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara,” katanya.