MASALAH rambut gugur sehingga menyebabkan kebotakan cukup membimbangkan para jejaka khususnya.
Igauan ngeri tersebut bukan sahaja menjejaskan penampilan, bahkan membuatkan seseorang itu hilang keyakinan diri dan mengganggu emosi.
Persoalannya, apakah punca yang mendorong masalah keguguran rambut?.
1) Cetusan TE
Lazimnya, apabila berbicara tentang isu terbabit, sebahagian besar individu menyifatkan ia berlaku disebabkan telogen effluvium (TE) yang berkait rapat dengan tekanan emosi ataupun fisiologi.
Bagaimanapun, Pakar Dermatologi Kehilangan Rambut dari Skokie, Illinois, Amerika Syarikat, Dr Shani Francis memberitahu, kebiasaannya TE tercetus akibat stres melampau seperti kehilangan insan tersayang dan masalah kewangan.
"Ia termasuklah, kesilapan ketika berdiet, kekurangan nutrisi atau gangguan metabolik," jelasnya baru baru ini.
2) Radiasi matahari
Hasil kajian mendapati radiasi ultra violet (UV) daripada sinaran matahari boleh merosakkan dan mengurangkan protein pada setiap helaian rambut.
Bukan itu sahaja, golongan lelaki yang bidang kerja terdedah pada cahaya matahari dinasihatkan supaya menjaga kulit kepala daripada selaran matahari.
Langkah tersebut bertujuan mengelakkan radang yang boleh merosakkan folikel.
3) Topi
Pakar masalah rambut, Dr Paradi Mirmirani pula memberitahu, kekerapan memakai penutup kepala khususnya topi yang terlalu ketat akan menghalang oksigen ke folikel rambut.
Kesannya, ia bukan sahaja mengganggu proses penghasilan sel rambut baharu, malah rambut menjadi nipis dan gugur sedikit demi sedikit.
4) Merokok
Tabiat merokok salah satu gaya hidup tidak sihat yang akan mempengaruhi mikroedaran awal dalam kehidupan dan menjejaskan kesihatan kulit.
Selain bibir menjadi gelap, merokok juga menghilangkan kadar oksigen pada kulit dan menyebabkan kondisi kulit kepala merosot.