DAP keluar PH hanya retorik

Iklan
Dr. Achmad Dzariean Mohd Nadzri

SHAH ALAM - Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa pemimpin-pemimpin dari parti itu akan meninggalkan gabungan kerajaan jika objektif Malaysia Baharu diketepikan hanyalah retorik.

Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Achmad Dzariean Mohd Nadzri, berkata, kenyataan itu sebaliknya mungkin gertakan terhadap ketidakstabilan politik dalam gabungan itu mutakhir ini.

Iklan
Iklan

Dr. Achmad Dzariean berkata, boleh dikatakan setiap parti-parti komponen dalam PH mempunyai masalah walaupun telah menjadi kerajaan.

"Masalah-masalah tersebut melibatkan kepimpinan dan ada juga melibatkan unsur-unsur peribadi pemimpin mereka yang menyebabkan mereka terbahagi kepada beberapa kem," ujarnya.

Iklan

Dr. Achmad Dzariean berkata, agak mustahil untuk DAP keluar dari PH kerana mengikut perkiraan jika mereka keluar daripada PH maka kerajaan itu akan terbubar.

"Adakah DAP sanggup menerima keadaan ini selepas mereka berusaha sejauh mungkin dan bekerja keras untuk menumbangkan kerajaan BN tetapi begitu mudah untuk keluar dari PH sekiranya matlamat Malaysia Baharu tidak dicapai?.

Iklan

"Ia hanyalah gertakan dari Kit Siang dan mungkin juga gimik politik yang biasa dilakukan ahli politik," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta memberikan pandangan berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang menyatakan pemimpin DAP tidak teragak-agak keluar daripada parti komponen itu jika gagal merealisasikan Malaysia Baharu.

Pada masa yang sama, Dr. Achmad Dzariean tidak bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa DAP tidak ubah seperti MCA ketika zaman pemerintahan BN yang mengiakan apa sahaja yang berlaku.

"DAP tidak sama seperti MCA ketika BN dahulu kerana komposisi DAP dalam PH adalah antara yang terkuat, tidak seperti MCA dahulu sebelum pencapaian mereka merosot," katanya.

Tambahnya ketika menanggotai sayap BN ketika menjadi kerajaan, MCA tidak mempunyai suara yang kuat tetapi hanyalah membantu BN bentuk kerajaan.

"Berbeza dengan DAP, pecahan kerusi yang dimenangi mendapati mereka antara terkuat. Jika perlembagaan tidak membenarkan bahawa PM boleh dipilih oleh siapa-siapa, maka DAP punyai kelebihan untuk jadi PM," katanya.

Pada masa yang sama, Dr. Achmad Dzariean melihat kerajaan PH sedang bekerja keras untuk memperbetulkan keadaan atau memberikan satu keadaan berbeza dengan keadaan yang telah diwujudkan oleh pentadbiran BN.

"Tetapi apa yang berlaku di mata rakyat seolah-olah keadaan masih sama bahkan ada yang beranggapan keadaan semakin teruk bersama PH.

"Memang benar objektif Malaysia Baharu belum berjaya dicapai tapi tidak mungkin DAP akan keluar dari kerajaan," tegasnya.