KULAI - Kumpulan pertama jemaah haji rombongan Kerajaan Johor berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini pada jam 12.15 pagi tadi.
Kumpulan terdiri daripada 150 orang itu merupakan antara keseluruhan 400 jemaah haji rombongan kerajaan negeri pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah keseluruhan jemaah rombongan kerajaan negeri pada tahun ini adalah seramai 400 orang.
"Malam ini rombongan pertama berlepas seramai 150 jemaah dan harap semua dapat menjaga kesihatan, selamat pergi dan balik serta mendapat haji yang mabrur.
"Paling penting, jagalah nama baik negara dan Johor di sana nanti," katanya yang turut hadir menyempurnakan pelepasan ketika ditemui, di sini awal pagi tadi.
Dr Sahruddin turut mengingatkan para jemaah agar tetap menjaga kesihatan sepanjang berada di sana.
"Walaupun kita ke sana untuk mengerjakan ibadah, pastikan makan ubat jika ada yang mengambilnya seperti mana rutin biasa. Jangan tinggal dan elakkan meminum air zam zam sejuk kerana dikhuatiri mudah batuk atau demam," katanya.
Dalam satu kenyataan, Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan rombongan pertama jemaah haji Kerajaan Johor berlepas menerusi penerbangan KT23J (MH8408) hari ini menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jemaah negeri ini kemudiannya akan meneruskan penerbangan ke tanah suci dari KLIA menerusi penerbangan KT23 (MH8122) pada jam 5.30 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada 9 pagi (waktu Arab Saudi).
Penerbangan fasa pertama ke tanah suci musim haji tahun ini merangkumi 62 penerbangan yang bermula 4 Julai lalu dan akan berakhir pada 5 Ogos nanti.