JEMPOL - Kegagalan pihak pengurusan Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) menguruskan Ladang di Felda Palong 6 di sini didakwa mengakibatkan lebih 500 peneroka alami kerugian ribuan ringgit setiap bulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor berkata, terdapat empat masalah kritikal iaitu buah sawit tidak dituai mengikut masa dan pelepah pokok sawit tidak dipangkas mengikut masa ditetapkan
"Bila buah tidak dituai ikut masa akan menyebabkan banyak yang busuk di atas pokok.
"Soal baja pula, sepatutnya sudah tiga kali pusingan baja bagi tahun ini, tetapi pusingan pertama baru bermula. Semua maklumat ini saya peroleh ketika turun padang dilakukan baru-baru ini," katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu katanya, jalan pertanian ladang untuk mengangkut keluar buah juga tidak diurus dengan sempurna dan ia menyukarkan peneroka.
Menurutnya, beliau sudah mengambil perhatian masalah itu sejak beberapa bulan lalu dengan melawat ladang peneroka terlibat bagi mengumpulkan maklumat.
"Katakan kerugian setiap peneroka RM1,000 sebulan, jika didarab dengan 12 bulan, jumlahnya sudah mencapai kira-kira RM12,000. Siapa yang menanggung kerugian ini?
"Ini bukan berpunca kerana peneroka malas tetapi kegagalan pihak yang bertanggungjawab mengurus ladang di Felda Palong 6," katanya.
Beliau juga kesal kerana masalah peneroka di kawasan itu tidak diurus dengan bersungguh-sungguh oleh wakil kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diberi amanah mewakili peneroka dalam Felda Wilayah Raja Alias.