ALOR SETAR - Seorang Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kesal apabila dirinya dikaitkan dengan perobohan gerai penjaja di Jalan Putra, pada malam Selasa lalu.
R Kumara Guru Naidu berkata, dia dimaklumkan rakan berhubung kiriman WhatsApp yang tular mengenai ada pihak tertentu didakwa memfitnah dirinya, dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakannya membantu peniaga terlibat memohon lesen sementara di kawasan berkenaan.
Menurutnya, paparan yang dimuat naik turut menyentuh sensitiviti perkauman.
Sehubungan itu, Kumara membuat laporan polis pada Sabtu, kerana bimbang dengan keselamatan dirinya selain menyifatkan paparan yang tular sebagai ugutan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya dan dua lagi Ahli Majlis MBAS berketurunan India tidak pernah beri arahan untuk robohkan gerai penjaja terbabit. Saya anggap ini permainan kotor politik perkauman yang cuba dicetuskan pihak tertentu,” katanya.
Kumara berkata, pihaknya bimbang ia sengaja dicetuskan bagi mencalarkan imej kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH).
"Saya antara individu yang bertanggungjawab membawa penjaja terlibat berjumpa bahagian pelesenan MBAS untuk menyelesaikan masalah penjaja yang mahu mohon lesen sementara, sebaliknya saya pula difitnah mahu robohkan gerai mereka,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Setar, Mejer (B) Ismail Feisol berkata, lebih 30 peniaga di kawasan berkenaan akur dengan tindakan penguatkuasaan MBAS yang menyita barangan mereka susulan tiada lesen perniagaan.
"Kebanyakan peniaga di sini berniaga sejak 25 tahun lalu, sudah beberapa kali mereka mohon lesen sementara namun masih dipertimbangkan MBAS. Terbaru permohonan dibuat dua bulan lalu,” katanya.
Justeru pihaknya berharap permohonan peniaga dipertimbangkan segera bagi mengelak kejadian berulang.
Sementara itu, bagi peniaga minuman, Ku Zakry Ku Jusoh, 56, berharap tapak perniagaan disediakan tempat bersesuaian dan mereka bersedia mematuhi peraturan ditetapkan sekiranya dibenarkan berniaga di kawasan berkenaan.
"Sepanjang berniaga, kami patuhi aspek kebersihan dan menyimpan barang niaga selepas tamat operasi sekitar 12 tengah malam,” katanya.
Peniaga ayam goreng, Mohd Najmuddin Ibrahim, 57, pula berharap diberikan peluang mencari rezeki dan permohonan mereka diluluskan MBAS.
"Kami faham penguat kuasa hanya jalankan tugas mereka, namun harap permohonan kami diluluskan agar kejadian meroboh gerai dan merampas barangan tidak berulang,” katanya.
Sejak kelmarin, tular beberapa gambar anggota penguat kuasa MBAS meroboh gerai dan menyita barangan jualan di kawasan penjaja terbabit di Jalan Putra.