Bangkai tikus dalam todi

Iklan
Sivanesan ketika membuat pemeriksaan pagi tadi. Gambar kecil, keadaan peralatan yang kotor dan penemuan bangkai tikus dalam sebuah tong minuman yang dihasilkan.

IPOH - Sebuah premis memproses todi di Kampung Kepayang diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor hinggakan terdapat bangkai tikus dalam tong minuman.

Premis yang beroperasi sejak 30 tahun itu didapati memproses minuman beralkohol untuk dijual kepada penduduk setempat dengan harga sekitar RM5 bagi satu botol berisi 1.5 liter.

Iklan
Iklan

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, notis perintah tutup dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983 selama 14 hari bagi memberi laluan kerja-kerja pembersihan dijalankan.

"Daripada pemeriksaan kita lakukan, keadaan penyediaan di sini adalah tidak bersih, peralatan digunakan agak kotor malah kita dapat lihat ada bangkai tikus dalam minuman dihasilkan.

Iklan

"Saya telah arahkan premis ini ditutup sementara untuk mereka jalankan pembersihan. Sekiranya masih ingkar tindakan mahkamah akan dikenakan," katanya selepas mengadakan pemeriksaan dan penguatkuasaan di premis penyediaan minuman beralkohol di sekitar kawasan Industri Pengkalan Maju dan Gunung Hijau Pusing Batu Gajah, hari ini.

Sivanesan melekatkan notis perintah tutup premis.

Sivanesan berkata, premis itu yang dimiliki seorang warga tempatan berusia 63 tahun memiliki lesen penjualan arak daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan kebenaran beroperasi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan

"Di bawah bidang Jabatan Kesihatan, kita ada kuasa untuk ambil tindakan lebih-lebih lagi jika ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan dan keselamatan orang awam," katanya.

Ketika tinjauan, terdapat hampir enam botol todi yang baru siap diproses dan beberapa tong minuman sedia diproses diletakkan dalam keadaan tidak bertutup.

Todi yang siap dibotolkan untuk dijual.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata, sehingga 7 Julai lepas, Perak mencatatkan 29 kes keracunan metanol dengan 16 kematian yang mana 11 daripadanya merupakan warga tempatan.

Katanya, daripada 28 sampel yang diambil, lima telah disahkan positif keracunan metanol sementara bakinya masih di peringkat ujian.

"Sepanjang tempoh itu, kita telah menjalankan aktiviti risikan ke atas 297 premis yang menjual minuman beralkohol dan didapati 18 premis berkenaan adalah positif dengan minuman yang disyaki," katanya.