SHAH ALAM - Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin mendakwa ditumbuk tiga kali oleh seorang warden penjara ketika ditahan di Penjara Kajang baru-baru ini.
Wan Ji berkata, warden berkenaan memintanya menanggalkan cermin mata sebelum memukulnya selepas beliau memperkenalkan diri.
"Ana masuk (penjara) ana cakap jujurlah, ana kena pukul. Masuk tu, ada seorang mamat tu, mula-mula masuk ana pakai baju Melayu, dia suruh buka baju, tinggal seluar. Lepas tu nak botakkan kepala janggut semua ni.
"Ada seorang budak (warden) tu cakap loghat Kelantan. Dia tutup muka, pakai baju warden, dia tanya demo namo gapo.
"(Dia suruh) buka spec. Dah buka, tu 'bam' 'bam', tiga kali dia bagi. Apa salah aku? (warden) yang lain gelak-gelak, bukan nak halang pun, saya kelu tak tahu apa-apa" katanya ketika menyampaikan kuliah dalam satu rakaman video di YouTube.
Pendakwah dari PKR itu berkata, beliau memaklumkan perkara itu kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Wan Ji, Anwar sudah menghubungi pihak penjara untuk mengenal pasti warden yang telah melakukan perbuatan tersebut.
Ujarnya, beliau juga memaklumkan perkara itu kepada peguamnya yang kemudian memintanya membuat laporan polis.
Bagaimanapun, Wan Ji berkata beliau pada mulanya enggan berbuat demikian kerana tidak mahu warden itu dibuang kerja.
"Tapi dia (peguam) kata tak boleh nanti dia (warden) buat pada orang lain," katanya.
Dalam rakaman sama, Wan Ji mencadangkan supaya warden itu tampil meminta maaf dan beliau akan menarik balik laporan polis.
"Tak tahu apa pasal buat macam tu dekat ana mungkin dia dah bengang lama dengan ana. Buka FB, YouTube ke apa," katanya yang mengesyaki warden berkenaan kemungkinan penyokong parti politik tertentu.
Pada 9 April 2018, Wan Ji dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan atas tuduhan menghina Sultan Selangor, namun pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam agar tempoh itu ditingkatkan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Wan Ji terpaksa meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.
Hakim, Datuk Abdul Halim Aman turut meminda hukuman kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.