KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) disaran mengkaji semula struktur tadbir program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) setelah didapati program itu tidak dilaksanakan dengan cekap.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara ke-14 Siri 1 program itu didapati mempunyai kelemahan dari segi pengurusan kewangan, pengurusan perolehan, pendaftaran dan pemantauan terhadap syarikat yang mendapat kontrak kerajaan.
"MED perlu memastikan struktur tadbir urus Program SL1M dikaji semula dan dimantapkan meliputi aspek kawalan dan pemantauan supaya wujudnya elemen semak dan imbang,” kata laporan itu.
SL1M diperkenalkan pada tahun 2011 di bawah tanggungjawab Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Sekyen Pembangunan Modal Insan (SPMI) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat kerajaan.
Disebabkan respons positif maka SL1M fasa 2 diperkenalkan pada tahun 2012, namun pengurusannya diserahkan kepada dua pegawai pinjaman daripada BNM dan yang kemudiannya dinamakan sebagai Sekretariat SL1M.
Namun begitu, laporan didapati pencapaian sebenar graduan yang dilatih di bawah SL1M tidak dapat diukur dengan tepat kerana tiada maklumat lengkap disediakan oleh Sekretariat SL1M.
Selain itu, sekretariat itu tidak mewujudkan sebarang mekanisme pemantauan bagi memastikan syarikat yang mendapat kontrak perolehan kerajaan telah melaksanakan SL1M seperti disyaratkan.
"MED perlu mengkaji semula mekanisme pendaftaran, kelulusan pengurangan peserta dan pemantauan syarikat yang melaksanakan program SL1M berdasarkan kontrak perolehan kerajaan,” demikian menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.
Laporan juga berkata MED perlu memastikan Sekretariat SL1M menwujudkan mekanisme penilaian outcome dan melaksanakannya dalam masa terdekat supaya peruntukan yang dibelanjakan memberi pencapaian.
Tambahan lagi, audit juga mendapati tiada sebarang perjanjian atau Memorandum Persefahaman (MoU) diwujudkan antara UPE, JPM dan Talentcorp yang menjelaskan peranan Talentcorp sebagai ejen pembayar yang menguruskan peruntukan Program SL1M.
Selain itu, tiada sebarang penyata disediakan oleh Talentcorp bagi pelaburan berjumlah RM9 juta pada tahun 2017 dan RM8 juta pada tahun 2018.
"Ini menyebabkan pihak Audit tidak dapat mengesahkan perbezaan baki akhir RM5.69 juta bagi kedua-dua tahun itu,” menurut laporan itu. - Bernama