KUALA LUMPUR - Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman menerangkan hukum jual beli semasa solat Jumaat dalam laman Facebook beliau, baru-baru ini.
Berdasarkan kesimpulan beliau, jual beli pada waktu tersebut akan jatuh haram hanya apabila dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
Menurutnya, ia juga akan jatuh haram sekiranya jual beli dilakukan oleh lelaki, baik pembeli atau penjual yang wajib solat Jumaat dan segala kesimpulannya adalah berdasarkan beberapa dalil malah beliau turut menerangkannya dalam catatannya itu.
"Ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram', cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu).
"Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram. Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut 'para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jual beli selepas azan kedua',” katanya.
Tambah beliau, persoalan juga timbul iaitu meskipun berjual beli di waktu itu adalah haram, bererti penjual dan pembeli berdosa namun adakah akad jual beli mereka ikut terbatal.
"Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dan terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama, akad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.
"Kedua, akad batal dan berdosa. Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki. Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi.
"Kecuali jika ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahan itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan akad,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap khatib dapat mengingatkan perkara tersebut setiap kali mereka berada di mimbar dan bila juga mengingatkan perkara sama sebelum mereka melaungkan azan kedua.
"Apa pun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan di mana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini.
"Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali,” ujarnya.
Katanya lagi, bagi yang mengetahui berkenaan hukum haram ini, wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya dan wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.