ALOR SETAR – Seorang lelaki cuba membunuh abangnya sendiri menggunakan mercun diubah suai dalam kejadian berhampiran sebuah pasar raya di Taman Petani Jaya, Sungai Petani dekat sini semalam.
Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa berusia 60 tahun sedang menunggu berhampiran pasar raya berkenaan untuk menyerahkan komputer kepada adiknya itu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, adiknya berusia 38 tahun itu datang dan mengugut untuk membunuh mangsa selepas dia menunggu lebih kurang sejam.
"Kemudiannya, adik mangsa mengambil mercun yang diubah suai berkenaan dan cuba membaling ke arah abangnya sebelum ia meletup secara tiba-tiba di tangannya.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lengan kiri, telinga kiri dan kepala akibat terkena serpihan mercun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, manakala suspek turut cedera di bahagian tangan kanannya selepas mercun diubah suai itu meletup ketika dinyalakannya.
Katanya, susulan itu, mangsa dan suspek memandu kenderaan masing-masing ke sebuah hospital swasta, sebelum dipindahkan untuk rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim ( HSAH).
Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.