Palsukan kad kesihatan pengendali makanan, polis tahan pembantu perubatan di Ranau

Iklan

KOTA KINABALU - Polis menumpaskan kegiatan pemalsuan kad kesihatan pengendali makanan di Ranau berikutan penangkapan seorang pembantu perubatan Jabatan Kesihatan berusia 37 tahun.

Turut dirampas daripada lelaki rakyat tempatan itu, yang bertugas di Hospital Ranau Gred U11, adalah 25 keping kad kesihatan pengendali makanan, tiga cop Pegawai Perubatan dan satu cop Hospital Ranau.

Iklan
Iklan

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass dalam sidang media di sini hari ini berkata lelaki berkenaan ditahan pada Rabu lepas setelah polis menyerbu rumahnya di Ranau susulan laporan dibuat seorang Penolong Pegawai Kesihatan di Pejabat Kesihatan Ranau pada 25 Jun lepas.

Katanya dalam laporan itu, hasil pemeriksaan pengadu ke atas lima premis makanan iaitu empat kantin sekolah menengah dan sebuah restoran mendapati kad kesihatan pengendali makanan membabitkan pekerja disyaki palsu.

Iklan

Menurutnya pengadu menyatakan, semakan mendapati cop dan tandatangan Pegawai Kesihatan adalah palsu, tiada maklumat didaftarkan dalam sistem Jabatan Kesihatan ke atas pekerja di lima premis itu.

Rekod pembayaran tidak wujud disebabkan prosedur setiap kad pekerja diperiksa perlu membuat pembayaran RM100 dan terdapat juga tandatangan palsu milik seorang Pegawai Kesihatan yang telah berpindah ke Semenanjung sejak januari lepas, katanya.

Iklan

Zaini berkata kelima-lima premis tersebut mengaku mendapatkan kad kesihatan pengendali makanan tersebut daripada seorang ejen dengan bayaran RM100.

Menurutnya siasatan awal yang dijalankan susulan tangkapan lelaki berkenaan mendapati dia telah menjalankan kegiatan pemalsuan kad kesihatan itu sejak 2014.

Katanya lelaki itu direman selama empat hari dan dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lepas.

Beliau berkata siasatan lanjut yang dijalankan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan turut meliputi jika ada individu lain yang terlibat dalam kegiatan itu.

Justeru, beliau berkata mana-mana premis makanan di negeri ini khususnya di Ranau yang ada mendapatkan kad kesihatan pengendali makanan secara tidak sah tampil untuk membantu siasatan. - Bernama