MERU RAYA - Lebih 200 pengusaha penjualan tiket bas mengharapkan kerajaan negeri dapat membantu melanjutkan penangguhan penutupan operasi penjualan tiket di kaunter Terminal Aman Jaya di sini selepas ia tamat tempoh semalam.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Silveritage Medan Gopeng, Mohd Tarmizi Mohd Yusoff berkata, kesemua ejen tidak dapat beroperasi hari ini apabila pihak pengurusan bertindak memutuskan bekalan elektrik.
Menurutnya, pertemuan bersama pihak Pejabat Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sebelum ini nyata tidak membuahkan hasil.
"Sebelum ini kita ada bertemu dengan mereka untuk minta penangguhan selama 45 hari iaitu sehingga bulan Ogos dan kita menerima maklum balas positif tanpa ada surat rasmi.
"Hari ini kami tiba di terminal, semua kaunter tidak boleh beroperasi apabila bekalan elektrik sengaja diputuskan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.
Mohd Tarmizi berkata, pihaknya hanya minta penangguhan sementara sehingga bangunan Silveritage di Medan Gopeng boleh beroperasi.
"Sekiranya bangunan di Medan Gopeng itu siap, kami boleh pindah operasi di sana. Apa yang menyedihkan sehingga kini tiada sebarang kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.
"Oleh itu, kami tiada hala tuju sekiranya diusir keluar sekarang. Kami mempunyai tanggungan dan pengoperasian penjualan kaunter tiket ini merupakan satu-satunya sumber pendapatan kami," katanya.
Ekoran pelaksanaan Sisten Jualan Tiket Berpusat (CTS) itu, ejen penjualan tiket berisiko hilang pendapatan dan mencadangkan bangunan Silveritage di Medan Gopeng dijadikan terminal bas ekspres Ipoh Selatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Terminal Bas Medan Gopeng kembali beroperasi?
Langkah itu adalah penyelesaian terbaik apabila mereka hanya menyewa di terminal berkenaan.