GUJARAT - Detik gembira pengunjung sebuah taman tema bertukar ngeri apabila buaian gergasi yang sedang bepusing tiba-tiba patah dua sehingga mengorbankan dua nyawa dan mencederakan 29 yang lain.
Detik mengerikan di Balvatika Amusement Park di barat India, Ahad itu dirakam pengunjung taman tema berkenaan.
Rakaman video yang tular itu menunjukkan buaian dinamakan 'Discovery' patah dua apabila kabel galas bebannya terputus ketika permainan itu berayun kira-kira 15 meter dari tanah.
Ketika kejadian, dilaporkan 31 pengunjung sedang menaiki permainan yang kelihatan bergerak seperti ladung itu.
Mangsa maut dikenali sebagai Manali Rajvadi, 24, dan Mohammed Zaid Momin, 22.
Menurut Daily Mail, sekurang-kurangnya tiga daripada 29 yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Pihak berkuasa kini sedang mengumpul maklumat mengenai insiden dan beberapa wakil daripada taman tema berkenaan ditahan untuk bantu siasatan.
Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani memerintahkan siasatan dibuat selain mengarahkan pihak perbandaran memberikan rawatan percuma kepada mangsa yang cedera.