PERLAKSANAAN peraturan baharu perkhidmatan e-hailing telah mulai dikuatkuasakan mulai 12 Julai lalu.
Mulai tarikh tersebut, semua pemandu kenderaan e-hailing perlu melalui proses pemeriksaan ketat untuk mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
Pemeriksaan yang perlu dilakukan ialah pemeriksaan latar belakang pemandu; enam jam latihan memandu; ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan; pemeriksaan kereta oleh Puspakom dan pemeriksaan kesihatan.
Langkah ini dilihat mampu memastikan perkhidmatan e-hailing yang menjadi satu lagi pilihan pengangkutan awam di Malaysia beroperasi lebih berkesan dan membawa kemudahan kepada rakyat.
Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan pada hari yang sama membuat keputusan mengejutkan dengan memberi kelonggaran kepada semua pemandu e-hailing.
Bagi yang masih belum memenuhi syarat, pihak kerajaan membenarkan mereka meneruskan operasi selama tempoh tiga bulan bermula 12 Julai.
Sepanjang tempoh tiga bulan itu, mana-mana pemandu yang memandu tanpa lesen PSV atau memandu dengan tidak mematuhi syarat kenderaan hanya akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran terakhir.
Kita menyambut baik keputusan dibuat kerajaan itu kerana ia membabitkan jumlah pemandu dan pengguna yang ramai.
Buat masa ini, negara kita mempunyai kira-kira 258,000 pemandu e-hailing.
Jumlah itu mungkin akan turun sebanyak 90 peratus selepas undang-undang baharu dilaksanakan memandangkan pemandu sambilan e-hailing difahamkan tidak mahu mendaftarkan kenderaan mereka secara rasmi sebagai kenderaan komersial.
Namun kerajaan juga perlu serius bagi memastikan industri e-hailing dapat berkembang sihat tanpa menjejaskan perkhidmatan teksi biasa.
Adalah diharapkan tempoh tiga bulan yang diberikan itu tidak akan dilanjutkan lagi dan tindakan tegas perlu diambil selepas tempoh kelonggaran tersebut berakhir.
Kementerian Pengangkutan juga perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat aplikasi yang terlibat membenarkan pemandu-pemandu kenderaan e-hailing yang masih tidak sah beroperasi menggunakan aplikasi mereka.