Dewan Rakyat buat keputusan pindaan had umur mengundi hari ini

Iklan

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini akan menjadi tumpuan seluruh negara apabila ia bakal membuat keputusan berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan warganegara berumur 18 tahun mengundi pada pilihan raya.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dijangka dibentangkan bagi bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas selesai sesi soal jawab lisan sebelum dibuka untuk dibahas oleh Ahli Parlimen.

Iklan
Iklan

Dr Mahathir sebelum ini melahirkan keyakinannya bahawa pindaan perlembagaan itu bakal mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat, dengan blok pembangkang telah menyatakan komitmen untuk menyokong pindaan berkenaan.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: PH setuju umur 18 tahun berhak undi

Ini merupakan kali kedua kerajaan Pakatan Harapan cuba meminda Perlembagaan Persekutuan selepas usaha mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 pada 9 April lepas. Bagaimanapun, ia tidak mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi di Dewan Rakyat.

Iklan

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dalam temu bual bersama Bernama berkata, pindaan itu akan mengubah landskap politik negara sekiranya ia diluluskan.

"Ini merupakan satu langkah yang signifikan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk memperkasa belia dan mengiktiraf golongan itu dengan memberikan mereka hak untuk menjadi pemilih," katanya.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat yang bermula pada 10 pagi ini juga dijangka sarat dengan pelbagai isu dan antara yang menarik perhatian ialah soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) kepada Perdana Menteri mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenal semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. - Bernama