HULU SELANGOR - Klinik Desa Gesir Tengah yang ditutup sementara sejak awal Mei lalu akibat gangguan makhluk halus kini dibuka semula kepada orang ramai.
Penghulu Mukim Hulu Bernam Utara, Mohamed Jamil Abu Bakar berkata, perkhidmatan kesihatan di klinik berkenaan kembali beroperasi sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, situasi di klinik tersebut dalam keadaan terkawal dan dua jururawat yang mendakwa mengalami gangguan makhluk halus sebelum ini meneruskan tugas dengan baik.
Sinar Harian pada 6 Mei lalu melaporkan klinik tersebut ditutup sementara berikutan kekerapan gangguan makhluk halus yang berlarutan sejak 2007.
Dua jururawat masyarakat yang bertugas dihantui beberapa gangguan mistik termasuk jelmaan lembaga hitam berupa perempuan tua.
Meskipun kejadian berlaku pada waktu siang namun mendatangkan trauma kepada jururawat sehingga terpaksa menunggu pesakit di pondok di luar klinik.
Bagaimanapun gangguan hanya membabitkan kawasan dalam bangunan klinik kerana penduduk dan pekerja bengkel motosikal berdekatan klinik tidak pula mengalami sebarang gangguan aneh.
ARTIKEL BERKAITAN: Klinik ditutup sementara akibat gangguan makhluk halus