KOTA BHARU - Pemuda Umno Kelantan menyokong tindakan mendesak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan dikenakan hukuman amat tegas kerana dakwaan palsu yang disengajakan olehnya.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pihaknya senada dengan kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selaku Ketua Pemuda Umno yang mahu pemimpin itu diambil tindakan sewajarnya.
"Parlimen dikejutkan dengan hasil siasatan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mengesahkan tiada kehilangan wang kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM 19.4 Bilion yang sebelum ini didakwa oleh Lim Guan Eng kononnya dirompak Barisan Nasional (BN).
"Pemuda Kelantan kesal dengan pembohongan demi pembohongan dibuat oleh Guan Eng termasuklah sebelum ini menyatakan bahawa hutang negara berjumlah RM1 trilion yang menyebabkan pelabur asing menarik balik pelaburan mereka.
"Ia sekali gus menyebabkan nilai mata wang negara merosot berbanding dengan negara Asean lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad memberitahu dana itu tidak hilang tetapi dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Malah berdasarkan keterangan diberikan 10 saksi prosiding berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST mendapati hasil cukai itu tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.
Mengulas lanjut, Hariri berkata, pihaknya juga menggesa satu tindakan tegas dikenakan terhadap Ahli Parlimen Bagan tersebut dengan alasan pemimpin itu mengeluarkan kenyataan sesuka hati dengan niat sangkaan jahat.
Tindakan tersebut juga didakwa sebagai tidak bertanggungjawab dan sengaja mengelirukan Dewan Rakyat dengan fitnah serius ini.
"Rakyat sudah jelas sekarang, Lim Guan Eng selaku pemimpin DAP sememangnya penipu dan tiada semangat patriotisme kenegaraan apabila sengaja menyebabkan ekonomi negara merudum parah dengan kenyataan fitnah yang beliau buat ini," katanya.