Lelaki menyamar MB Selangor terima padah

Iklan
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali.

SEPANG- Taktik seorang lelaki yang menyamar sebagai Menteri Besar (MB) Selangor dan menipu Pegawai Daerah Sepang dengan niat mendapatkan geran tanah milik kerajaan negeri menjerat diri sendiri apabila diberkas polis.

Perbuatannya terbongkar apabila Pegawai Daerah Sepang tersebut membuat laporan polis selepas mengesyaki suspek yang menghubunginya menyamar sebagai pemimpin utama negeri ini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pengadu menerima panggilan daripada nombor telefon direkod dalam telefon bimbitnya sebagai MB Selangor pada jam 10.05 malam, 15 Jun lalu.

Menurutnya, pemanggil yang memperkenalkan dirinya sebagai MB Selangor membangkitkan kes pemilikan tanah kerajaan kepada sebuah syarikat dan mendakwa dirinya diarahkan menyelesaikan isu tersebut dengan kadar segera.

Iklan

Katanya, suspek mendakwa perlu mengeluarkan geran tanah tersebut supaya pemajuan kawasan tersebut dapat dilaksanakan.

"Pengadu beritahu suspek berikan dia satu nombor telefon lain untuk memudahkan mereka berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp.

Iklan

"Bagaimanapun, pengadu syak pemanggil bukan MB Selangor kerana cam suara pemanggil tidak mirip pemimpin nombor satu negeri ini selain semakan dibuat mendapati MB Selangor, Amirudin Shari berada di luar negara ketika panggilan diterima,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pengadu mengesyaki ada individu menyamar sebagai Amirudin menggunakan nombor telefon yang sama dengan niat menipu untuk mendapatkan geran tanah milik kerajaan negeri.

Katanya, hasil laporan diterima siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

"Tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki terlibat dalam kes ini Selasa lalu.

"Turut dirampas daripada suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu satu unit telefon bimbit jenama iPhone berserta sekeping sim kad,” katanya.

Beliau berkata suspek dituduh di Mahkamah Majistret Sepang hari ini di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan samaran.