Lengkapkan siasatan kes secepat mungkin

Iklan
A Thaiveegan

GEORGETOWN - Laporan siasatan kes kematian anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dijangka siap minggu depan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, seramai 15 percakapan dirakamkan dan polis akan memanggil 10 orang awam yang dikenal pasti untuk direkodkan keterangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini, laporan akhir termasuk laporan kimia dan bedah siasat belum siap.

"10 orang awam ini dipanggil hari ini, hanya untuk dapatkan keterangan lanjut agar siasatan ini tidak meninggalkan kesangsian. Polis akan lengkapkan siasatan kes ini secepat mungkin.

Iklan

"Lima anggota polis yang ditahan sudah dilepaskan dan tiada lagi anggota lain akan dipanggil. Hanya mereka yang berada di tempat kejadian sahaja akan dipanggil.

"Jadi kita harap akan lengkapkan siasatan minggu depan, bergantung kepada laporan kimia dan sebagainya sebelum dihantar ke Kamar Peguam Negara," katanya kepada media tadi.

Iklan

17 Disember lalu, Sofian Shahari, 47, ditemui maut oleh seorang pekerja hotel di sebuah pasaraya di Pulau Tikus dipercayai terjatuh dari bangunan tersebut.

Mangsa yang berpangkat koperal itu maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala, dada dan patah tangan kanannya.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, mangsa dikatakan ke sebuah pusat hiburan di pasar raya berkenaan pada jam 12.30 tengah malam bagi menyambut hari jadi rakannya.

Bagaimanapun dia ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.