KLANG - Seorang peguam dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen antara tahun 2014 hingga 2015.
Tertuduh, M Pannirselvam, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Razali Ariffin.
Mengikut pertuduhan, Pannirselvam dituduh melakukan perniagaan pemberi pinjaman wang dengan memberikan pinjaman berjumlah RM6,193,160 kepada seorang lelaki berumur 50 tahun walaupun tidak mempunyai lesen untuk berbuat demikian.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Besar Pekan Kapar pada 15 Mei 2014 hingga 6 November 2015.
Pannirselvam didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan May Kam bagaimanapun tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.
"Namun jika mahkamah ingin menetapkan jaminan, saya memohon supaya jaminan ditetapkan sebanyak RM300,000 selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebanyak dua kali sebulan,” katanya.
Peguam bela tertuduh, K Nathiya pula memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut kepada RM5,000 memandangkan tertuduh merupakan penanggung tunggal kepada isteri dan empat anaknya.
Hakim Razali membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bersama seorang penjamin dan memerintahkan Pannirselvam menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 4 September depan. - Bernama