KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentang untuk bacaan kali kedua di Parlimen hari ini.
Pembentangan kedua hari ini melibatkan RUU bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi pembentangan berkata, hampir kebanyakan negara telah menurunkan had umur mengundi bagi rakyat mereka.
"Selepas 1970-an, negara-negara maju seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Kemudian ia diikuti oleh India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada era 1980-an. Yang terakhir mengikuti jejak menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ialah Jepun pada tahun 2016.
"Ketika ini, hanya Malaysia dan Singapura di Asean serta beberapa negara lain seperti Kuwait, Oman, Cameroon, Lubnan, Samoa dan Tonga yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, hampir kesemua negara di Asia telah melaksanakan had umur mengundi 18 tahun dan yang terkini, beberapa negara di Eropah pula telah mula menurunkan had umur mengundi yang lebih rendah dari 18 kepada 16 tahun seperti Austria dan Scotland.
"Berikutan perkembangan di seluruh dunia ini, maka golongan belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun. Langkah ini adalah bagi memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya,” katanya.
Tambahnya, kerajaan menjangkakan untuk lima tahun akan datang, sekiranya pendaftaran secara automatik ini dilaksanakan bersekali dengan penurunan had umur mengundi 18 tahun, seramai 7.8 juta pengundi baharu akan dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih tiap tahun sehingga tahun 2023.
"Kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih dari 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada PRU14 tahun 2018,” katanya.
Sebelum itu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang dibentangkan pada 4 Julai ditarik balik minggu lalu sebelum ia dibentangkan semula dengan mengambil kira cadangan pembangkang pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun.
Seramai 58 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang akan membahaskan usul ini sebelum ia diluluskan Parlimen.
RUU itu perlu mendapat sokongan pembangkang apabila ia memerlukan undian 2/3 untuk diluluskan, memandangkan jumlah wakil rakyat kerajaan tidak mencukupi.