Pura-pura jumpa bayinya yang dibuang, wanita dihukum penjara

Iklan
Tertuduh (tengah) dikawal polis keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dihukum.

KOTA BHARU - Tindakan seorang ibu berpura-pura terjumpa bayinya yang dibuang pada Oktober tahun lalu mengundang padah apabila dihukum penjara satu tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hukuman diputuskan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin terhadap Siti Maswani Mustapha,31, selepas pembantu kedai makan itu mengaku salah atas tuduhan meninggalkan bayi yang baru berusia tiga hari dilahirkannya.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut mengarahkan hukuman berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh didakwa pada 30 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh sebagai ibu kepada seorang bayi perempuan dengan niat meninggalkan bayi tersebut di tepi sebuah kedai cat di bandar Kota Bharu di sini pada jam 1.05 pagi, 18 Oktober tahun lalu.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki memaklumkan penemuan bayi perempuan di tepi kedai cat berhampiran perhentian bas Kota Bharu.

Iklan

Setibanya di tempat kejadian, tertuduh menyerahkan bayi kepada polis.

Rakaman percakapan saksi lelaki yang membuat panggilan tersebut berkata, dia dan tertuduh berbual di tempat kejadian dengan tertuduh memberitahu terjumpa bayi tersebut di dalam longkang berhampiran kedai cat.

Polis yang mengesyaki tertuduh baharu bersalin bertindak menyiasat penginapan wanita itu dan menemui darah di lantai serta uri yang diletakkan dalam plastik.

Tertuduh kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan lanjut. Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati bayi itu anak tertuduh.

Pada prosiding itu, tertuduh merayu hukuman ringan kerana mempunyai tiga lagi anak dan adalah penanggung tunggal keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kes membuang bayi semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

"Sebagai ibu kandung sepatutnya memberi perlindungan kepada bayi itu dan bukan dengan membuang hingga mendedahkannya kepada bahaya,” katanya.