IPOH - Pementasan teater muzikal Hantu Kak Limah (HKL) di taman tema animasi Move Animation Park Studios (Maps) diharap bakal menjadi pemangkin kepada pementasan teater seumpamanya di Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Animaton Theme Park (ATP), Shafeii Abdul Ghaffor berkata, teater muzikal HKL itu bakal membuka peluang kepada pementasan teater lain di taman tema animasi berkenaan pada masa hadapan.
"Sekali gus menurutnya, teater muzikal sedemikian diharapkan mampu sebagai antara tarikan utama pengunjung ke Maps selepas ini.
"Pementasan teater ini adalah usaha daripada pengarah filem HKL sendiri, iaitu Mamat Khalid dan beliau memberikan keutamaan kepada negeri Perak.
"Kini warga Ipoh khasnya, tak perlu lagi untuk pergi ke Istana Budaya untuk menonton pementasan teater seperti ini,” katanya.
Shafeii berkata demikian pada sidang media sempena pementasan teater berkenaan, semalam yang turut dihadiri exco kerajaan negeri, Abdul Yunus Jamhari.
Dianggarkan lebih 200 penonton hadir bagi menyaksikan teater muzikal Hantu Kak Limah di Maps, mulai 8.30 malam.
Pementasan bermula sekitar 8.30 malam dengan menampilkan watak Hantu Kak Limah beserta latar belakang Kampung Pisang, khususnya di pekarangan warung Pak Jabit.
Menampilkan Hazama memegang watak Hussin, Joey (Ustaz Solihin), Aziz M. Osman (Pak Jabit), Miera Liana (Tun) dan Ropee (Nayan); teater muzikal berkenaan menampilkan, kisah berbeza berbanding naskhah filem sebelum ini.
Secara keseluruhannya, ia berkisarkan mengenai Hantu Kak Limah yang kembali 'mengganggu' penduduk kampung berkenaan yang menjalankan aktiviti pemujaan di kubur kampung berkenaan.
Justeru, kepada peminat filem Hantu Kak Limah, anda dipelawa untuk menyaksikan teater Hantu Kak Limah yang bakal berlangsung mulai malam ini sehingga 31 Disember 2018, kecuali 28 Disember.
Sementara itu, Shafeii berharap agar teater muzikal berkenaan bakal menjadi sebagai antara tarikan utama ke taman tema berkenaan setelah pembukaan Rumah Hantu The Sacred Riana, baru -baru ini.
"Selain itu kami berharap agar kesemua 398 kerusi di dewan teater ini dapat dipenuhi oleh pengunjung setiap kali tanyangan teater muzikal ini sehinggalah 31 Disember nanti,” katanya.