SUNGAI PETANI - Seorang pembantu gudang kilang beras maut kemalangan selepas bertembung dengan treler di Jalan Bukit Selambau-Sungai Lalang kira-kira jam 8.25 pagi tadi.
Mangsa, Mohd Fahmi Ahmad, 23, bekerja di Syarikat Faiza Sdn Bhd maut selepas kereta Proton Saga yang dinaiki remuk ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kawasan Perindustrian Miel Sungai Lalang.
Ibu mangsa, Jamilah Abu Bakar, 58, berkata, anak bongsu dari enam beradik itu baru sahaja pulang dari rumahnya di Kampung Pokok Tai, Pendang selepas berada di sana selama dua minggu.
Menurutnya, Mohd Fahmi sangat manja antara adik-beradik lain dan menetap di rumah mentua di Kampung Tembak, Kuala Ketil bersama isteri, Nabilah Saleh, 23, yang sedang mengandung lima bulan dan seorang anak berusia 2 tahun.
"Saja dia mai duduk di rumah makcik dua minggu, ulang-alik ke tempat kerja lalu jalan pintas.
"Tapi semalam dia dah balik Kuala Ketil sebab isterinya nak kena pi klinik hari ni, dah minggu lepas tak pi sebab balik rumah makcik, misi (jururawat) telefon suruh periksa kandungan," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan mangsa dari arah Bukit Selambau dipercayai terbabas ke laluan treler dari arah bertentangan.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dihantar Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani. Manakala pemandu treler berusia 50 tahun yang cedera di kepala dan kaki turut dibawa ke hospital sama.
"Kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.