Warga Bangladesh ceroboh pintu balai pelepasan KLIA2

Iklan
Eksekutif Teknologi Maklumat (IT) di China Md Anoy Mahmud, 23, (dua, kiri) didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan pintu pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) minggu lalu. Hukuman dijatuhkan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho terhadap lelaki warga Bangladesh itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris. - Foto Bernama

SEPANG - Tindakan seorang warga Bangladesh menceroboh pintu balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) minggu lepas membawa padah apabila didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Akhiruddin@Boy Acho menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Md Anoy Mahmud, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan dalam Bahasa Inggeris.

Iklan
Iklan

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun tertuduh membayar denda berkenaan.

Iklan

Md Anoy dituduh melakukan kesalahan itu setelah ketinggalan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dhaka, Bangladesh kira-kira jam 9.52 malam di Pintu P9 Balai Pelepasan Antarabangsa klia2 pada 9 Julai lepas.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Iklan

Mengikut fakta kes, pengadu selaku staf AirAsia menutup pintu balai pelepasan setelah selesai urusan pengiraan penumpang kira-kira pukul 9.40 malam pada hari kejadian dan kemudiannya membuat laporan mengenai jumlah penumpang di depan pintu pesawat.

Namun, beberapa minit kemudian pengadu didatangi Md Anoy yang seterusnya memaklumkan dia memanjat pintu balai pelepasan berikutan ketinggalan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dhaka yang dijadualkan berlepas pada jam 9.55 malam.

Pengadu kemudian membawa tertuduh ke Balai Polis klia2 untuk tindakan lanjut dan hasil siasatan polis mendapati tertuduh mengaku memanjat pintu berkenaan kerana lambat masuk ke dalam pesawat.

Tertuduh, yang diwakili peguam Zaflee Pakwanteh, merupakan seorang peniaga di Shanghai, China dan sedang transit di klia2 sewaktu kejadian untuk pulang ke Dhaka bagi menziarahi ibunya yang sakit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan.