[DIKEMASKINI] BUKAN semua orang bernasib baik dan mempunyai kehidupan selesa juga mewah.
Sebelum ini, kisah penghantar barangan Lazada dan Grab Food berjaya menyentuh hati ramai netizen kerana kegigihannya bekerja siang dan malam demi menyara keluarga dan menyimpan impian membeli rumah sendiri sebelum berusia 25 tahun.
Kali ini, perkongsian seorang pemuda di Facebook dengan nama Baliami Conmigo berkenaan penghantar makanan Food Panda orang kurang upaya (OKU) sekali lagi meruntun jiwa netizen.
Memetik laporan Harian Metro, menurut Baliami atau nama sebenarnya, Mohamad Baliami Kastua, 23, dengan keadaan kaki yang terhincut-hincut, lelaki OKU itu yang dikenali sebagai Amri gigih menghantar makanan dipesan walaupun lokasinya sehingga ke tingkat 14!
Mohamad Baliami berkata, memang menjadi rutinnya setiap hujung minggu untuk membuat pesanan makanan melalui Food Panda kerana dia tinggal di tingkat 14 sebuah apartmen.
Menurutnya, satu hari, seperti biasa dia memesan dua ketul ayam daripada rangkaian makanan segera melalui Food Panda. Bagaimanapun dia harus menunggu kerana lokasi restoran makanan segera itu agak jauh dari rumahnya dan mengambil masa 45 minit untuk sampai.
Dia yang bekerja sebagai jururawat di Klinik Pergigian Dato’ Keramat, Kuala Lumpur berkata, setelah penghantar Food Panda itu sampai, dia agak terkejut dengan keadaan dirinya yang tidak sempurna namun gigih menghantar hanya dua ketul ayam sehingga ke tingkat 14.
"Saya rasa amat bersalah kerana tak tahu keadaannya (Amri) sehinggalah dia muncul di depan pintu rumah.
"Jika saya tahu, (saya) sendiri turun ke bawah ambil makanan itu. Kami sempat berbual cuma tak lama sebab dia kena balik," katanya.
Terharu dengan kegigihan Amri, dia mengambil video ketika dia beredar mengguna tongkat dan muat naik di Facebook dan dia tidak menyangka pula video dan perkongsian cerita tu tular.
Setakat jam 2 petang tadi, video berkenaan sudah mencecah 342,000 tontonan, 2,800 tanda suka, lebih 400 komen dan dikongsi 2,000 kali oleh warganet.
Sementara itu Amri, 42, berkata dia tidak mengetahui tentang video tular berkenaan.
"Saya tak tahu mengenai perkara itu (video yang tular), tapi terima kasih kepada pelanggan dan semua yang memberikan sokongan,” kata bapa kepada tiga anak itu.
Amri menarik perhatian warganet sejak malam tadi selepas videonya berjalan menggunakan tongkat untuk menghantar makanan kepada pelanggan tular di laman sosial.
Bercerita lanjut, Amri berkata, selepas syarikat lamanya menghentikan operasi, dia tiada pilihan kecuali mencari pekerjaan baharu.
Menurutnya, dia bersyukur kerana diterima bekerja di syarikat perkhidmatan penghantaran makanan itu walaupun kaki kanannya kudung akibat kemalangan jalan raya 22 tahun lalu.
Malah sepanjang empat bulan berkhidmat di syarikat berkenaan, dia tidak berdepan sebarang masalah sebaliknya mendapat layanan baik daripada majikan dan pelanggan.
Sumber: FACEBOOK BALIAMI CONMIGO/ HARIAN METRO