Padah liat bayar cukai

Iklan
Anggota penguat kuasa MBJB memeriksa barangan di premis berkenaan yang nyaris disita kerana tidak membayar tunggakan harta semalam.

JOHOR BAHRU - Sebuah premis mencuci kenderaan diserbu penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kerana didapati tidak melunaskan cukai harta sejak tiga tahun lalu.

Dalam operasi jam 11 pagi itu, semua kelengkapan hampir disita memandangkan notis yang dikemukakan sudah tamat tempoh dan boleh diambil tindakan.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB, Muhammad Iqbal Arami Mohamed Sharif berkata, cukai tertunggak premis tersebut adalah sebanyak RM19,850.

"Kalau diikutkan, cukai perlu dijelaskan premis berkenaan sudah menjangkau sehingga RM24,000, tetapi kita tidak kira lagi untuk tahun ini. Jadi pelaksanaan undang-undang hanya menggunakan jumlah tertunggak yang lama dahulu.

Iklan

"Selepas tamat tempoh notis yang dikeluarkan, kita boleh ambil tindakan menyita barang-barang di kedai ini, namun atas budi bicara penguat kuasa, kelengkapan membasuh kereta bernilai kira-kira RM6,000 dipulangkan semula,” katanya ketika menyertai operasi berkenaan di sini.

Terdahulu, pemilik perniagaan di premis berkenaan turut mengaku tidak mempunyai sebarang makluman mengenai cukai terbabit kerana hanya menyewa dengan pemilik sebenar.

Iklan

"Kita dimaklumkan dia (pemilik perniagaan) hanya menyewa di premis ini. Oleh kerana itu, kami memberikannya peluang untuk berbincang dahulu dengan pemiliknya, kalau tidak barangan ini memang perlu disita.

"Tindakan penyitaan barangan adalah mengikut Seksyen 148 (1) Akta 171 Kerajaan Tempatan jadi pihak berkuasa boleh sita atau ambil barangan kepunyaan sesiapa pun dalam pegangan yang mempunyai tunggakan cukai,” katanya.

Mengenai operasi berkenaan, Muhammad Iqbal berkata, ia adalah siri pertama pada tahun ini dan akan dijalankan selama tiga hari sehingga Khamis ini.

Beliau berkata, operasi dan tindakan penguatkuasaan itu akan dijalankan secara tegas dengan menyasarkan pegangan yang mempunyai tunggakan cukai harta melepasi tempoh tiga tahun.

Difahamkan, sejak Januari sehingga kini, terdapat kira-kira RM120 juta tunggakan cukai harta daripada pegangan bangunan komersial dan bangunan yang masih belum dijelaskan kepada MBJB.