WASHINGTON - Kedai perabot global Sweden, IKEA akan menutup satu-satunya kilang di Amerika Syarikat (AS) Disember ini sekali gus mengurangkan 300 pekerjaan.
Keputusan itu dibuat dalam usahanya untuk menjadi lebih kos efektif bagi menghasilkan produknya di Eropah dan mengimportnya.
Iklan
Iklan
Menurut IKEA, kos bahan mentah terlalu tinggi berbanding kilang di Eropah dan ia bermakna harga di kilang di Danville, selatan Virginia jauh lebih tinggi.
Pengurus kilang IKEA Danville, Bert Eades dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan melakukan yang terbaik dalam beberapa bulan akan datang untuk menyokong rakan sekerja melalui perubahan ini memandangkan mereka perlu mencari peluang pekerjaan dan latihan baharu.
"Kami melakukan segala usaha untuk memperbaiki dan mengekalkan daya saing kilang ini, tetapi malangnya keadaan kos tidak mengizinkan untuk meneruskan pengeluaran di Danville bagi jangka masa panjang,” katanya.
IKEA yang mempunyai 24 unit pengeluaran di 24 kawasan di sembilan negara dengan kira-kira 200,000 kakitangan itu akan bekerjasama dengan wakil buruh dan agensi AS untuk menyediakan bantuan mencari pekerjaan. - AFP