SEOUL - Ketua syarikat di Korea Selatan yang memecat anak buahnya kerana membuat aduan tentang buli di pejabat kini bakal berdepan hukuman penjara tiga tahun atau denda 30 juta won (RM104,496.91).
Hukuman di bawah undang-undang baharu itu bertujuan menghentikan budaya kerja toksik di negara berkenaan.
Undang-undang tersebut yang berkuat kuasa hari ini juga mewajibkan majikan untuk menyiasat gangguan di tempat kerja.
Peraturan baharu itu adalah usaha untuk memperbaiki keadaan buruh di Korea Selatan di mana persaingan sengit bagi mendapat kerja ditambah dengan konglomerat yang dikendalikan keluarga menjadi punca kepada buli.
Peguam Shin Hana berpendapat, sebelum ini tidak terdapat undang-undang sah terhadap gangguan tempat kerja.
"Majikan mempunyai persepsi saya dah bayar kamu, jadi saya memiliki kamu. Mereka percaya mereka boleh membeli pekerja itu.
"Jadi sekarang penting untuk majikan tahu bahawa ia menyalahi undang-undang. Ia adalah isu yang boleh dilaporkan dan kini majikan wajib melindungi pekerja mereka,” katanya.
Difahamkan, undang-undang berkenaan dibuat beberapa bulan selepas dakwaan berprofil tinggi tentang penderaan di tempat kerja fizikal dan verbal yang mencetuskan perdebatan di seluruh dunia.
Pada 2017, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Korea mendapati lebih 73 peratus responden mengalami gangguan sejak beberapa tahun lalu manakala satu perempat diganggu lebih sekali dalam seminggu. - CNN