PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) menafikan telah mula menjual tiket bagi menonton aksi final Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil 27 Julai depan.
Setiausaha Kehormatnya Tajul Hasnan Omar berkata, berita berhubung perkara berkenaan adalah maklumat palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, tiket-tiket hanya akan mula dijual pada 23 Julai dan mustahil jika ada pihak yang mendakwa sudah mempunyai 500 tiket pada ketika ini.
"Tidak ada sesiapa pun yang mempunyai tiket perlawanan akhir Piala FA 2019, jika ada yang mendakwa sudah mempunyai tiket, maka orang itu cuba nak ambil kesempatan dan penyokong perlu berhati-hati.
"Pafa tidak bertanggungjawab sekiranya ada penyokong yang membeli tiket palsu dan kita nasihatkan mereka agar beli pada saluran yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Tajul Hasnan berkata demikian bagi mengulas dakwaan individu yang mendakwa sudah mempunyai tiket dan tular di media-media sosial dan aplikasi WhatsApp pada ketika ini.
Sementara itu Tajul Hasnan berkata, sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan kepada Perak dengan 15,000 tiket akan dijual di Stadium Perak, Ipoh manakala 12,000 tiket lagi akan diagihkan ke seluruh daerah dan baki 3,000 tiket lagi akan dijual kepada pihak penaja termasuk jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan.
"Tiket-tiket akan dijual pada 23 Julai ini mulai 10.30 pagi hingga 3.30 petang di kaunter tiket Stadium Perak, Ipoh manakala bagi penyokong yang jauh pula, mereka boleh membelinya di Stadium Mini Parit Buntar, Pejabat Kemas Kampung Gajah dan kaunter pandu lalu Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Pejabat Daerah dan Tanah Tanjung Malim, PDT Lenggong, Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar dan Stadium Mini Manjung.
"Masa jualan tiket di daerah sama seperti di Stadium Perak dan lokasi ini telah dipersetujui oleh persatuan bola sepak daerah masing-masing.
"Diharapkan kehadiran penyokong pada aksi final nanti mampu memberikan suntikan motivasi kepada pemain untuk kembali menjulang piala berprestij itu setelah kali terakhir menjulangnya pada 2004 apabila menewaskan Terengganu 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya.