Laporan audit: KKMM akan buat laporan kepada SPRM - Gobind

Iklan
Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu dibangkitkan terhadap pengurusan dana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata pihaknya memandang serius hasil Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 yang dikeluarkan semalam, berhubung isu tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setelah mengambil alih pucuk kepimpinan negara pada Mei tahun lalu, KKMM telah menghentikan amalan pelantikan pegawai khas untuk Menteri dan Timbalan Menteri dengan menggunakan dana SKMM.

"Semua pelantikan pegawai khas semasa adalah mengikut waran perjawatan kerajaan yang diluluskan. Oleh itu, masalah (perkara yang dibangkitkan) tidak berterusan lagi.

Iklan

"Pihak SKMM juga telah menghentikan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat bagi pihak Menteri dan peruntukan tersebut telah dipindahkan kepada perbelanjaan operasi SKMM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

LKAN 2018 itu mendapati Perbelanjaan Kumpulan Wang SKMM diurus secara tidak cekap dan tidak berkesan, khususnya berkaitan perbelanjaan di bawah arahan menteri kerajaan terdahulu.

Iklan

Ini termasuk, perbelanjaan bagi 12 program tanggungjawab sosial korporat SKMM sebanyak RM12.81 juta di bawah arahan menteri.

Antaranya membeli 50,000 naskah buku mengenai Perdana Menteri (ketika itu) Datuk Seri Najib Tun Razak, ‘Predictive Analytics on Sungai Besar by-election’, dan rumah terbuka Parlimen Hulu Terengganu, menurut laporan itu yang membuat audit ke atas penyata kewangan SKMM bagi tahun berakhir 31 Disember 2015, 2016 dan 2017.

Laporan itu turut menyentuh mengenai pelantikan sembilan pegawai khas kepada menteri dan timbalan menteri yang dilantik dalam tahun 2016 hingga Jun 2018.

Sementara itu, Gobind berkata KKMM juga mengambil maklum mengenai teguran audit berkaitan dengan pengurusan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Katanya tindakan administratif sedang diambil oleh Finas bagi memastikan masalah yang sama tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata ini termasuk meningkatkan promosi terutamanya di peringkat tempatan selain daripada peringkat antarabangsa bagi meningkatkan kesedaran terhadap FIMI.

"(Finas juga akan) menambah baik struktur permohonan dan pembayaran rebat (rebate) untuk memudahcarakan urusan yang berkenaan,” katanya. - Bernama