MANILA - Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah menandatangani undang-undang baharu berkaitan pelbagai bentuk gangguan seksual di tempat awam.
Undang-undang tersebut telah ditandatangani pada April lalu, namun hanya dimaklumkan kepada umum semalam.
Individu yang didapati bersalah di bawah Akta Ruang Selamat itu boleh didenda sehingga 500,000 peso (RM40,065).
Di bawah undang-undang itu, gangguan seksual berdasarkan jantina termasuk ancaman fizikal, psikologi dan emosi adalah dilarang di seluruh tempat awam termasuk tempat kerja, kawasan rekreasi dan kenderaan awam.
Selain itu, perniagaan seperti restoran dan panggung wayang perlu memaparkan papan tanda amaran serangan seksual yang turut tertera hotline bagi membolehkan mangsa membuat aduan.
Dalam perkembangan lain, Duterte dilaporkan serius mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Iceland yang mengetuai cadangan resolusi PBB bagi menyiasat kempen antidadah yang meragut ribuan nyawa di Manila.
Jurucakap presiden, Salvador Panelo berkata, resolusi yang diterima pakai itu adalah berat sebelah dan sangat keterlaluan.
Pada 2016, Duterte melancarkan kempen antinarkotik yang menyebabkan lebih 5,300 suspek pengedar dadah terbunuh. - Agensi