HULU TERENGGANU - Melihat kepada wajahnya, siapa sangka usianya sudah lebih 100 tahun.
Idris Hassan, 115, masih sihat. Susuk badannya seperti lelaki berusia 70 tahun, hampir separuh daripada usianya yang sebenar.
Dikurniakan kesihatan yang baik, Idris atau lebih mesra dengan panggilan tok ki sangat menjaga pemakanannya.
Tok ki mengakui hanya minum tiga teguk air jika haus atau selepas makan.
"Tok ki takdok (tiada) rahsia apa-apa... cuma makan minum memang jaga sungguh-sungguh (pantang larang). Tok ki kurang minum air manis, banyak air masak saja, tapi bila minum tiga teguk sahaja kecuali kalau terlampau dahaga.
"Kalau tok ki terjaga tengah malam dan nak minum pun, tok ki minum tiga teguk juga. Setiap kali hendak minum juga kita kena niat kerana ALLAH SWT untuk sihat tubuh badan agar mudah kita beribadah kepadaNya.
"Jangan terus minum begitu sahaja tanpa baca Bismillah atau niat... kena ada adab," ceritanya kepada Sinar Harian.
Hanya tinggal berdua bersama isteri tersayang, Halimah Teh, 80, tok ki begitu ceria saat berkongsi kisah hidupnya.
Jangankan minuman manis, moyang kepada satu cicit ini juga tidak minum minuman berais.
"Biasa tok ki minum air yang dah dimasak atau air daripada batang-batang pokok di hutan.
"Walaupun masa muda dulu, kehidupan seharian banyak dalam hutan tapi tok ki tak minum sembarangan air sama ada sungai, air terjun ataupun air hujan," katanya lagi.
Bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan amalan dilakukannya itu telah dipraktikkan sejak kecil lagi kerana telah didik oleh kedua orang tuanya dahulu.
Tok ki juga sentiasa mengamalkan kalimah Bismillah dalam kehidupan sehariannya tidak hanya sebelum makan atau ketika tetapi ketika ingin memulakan sesuatu perkara.
"Sebenarnya banyak kelebihan bacaan Bismillah ini dalam kehidupan kita dan boleh diamalkan sebagai zikir selain zikir-zikir lain.
"Antaranya, baca 21 kali Bismillah sebelum tidur dapat mengelakkan gangguan syaitan.
"Mengucap salam dan Bismillah ketika hendak masuk rumah pula Insya-ALLAH rumahtangga diberkati dan mendapat keharmonian," tambahnya yang kini mempunyai lapan cucu.
Dalam bercerita, tok ki juga sempat memberi nasihat agar sentiasa mengamalkan kalimah Bismillah.
"Banyak manfaat serta kelebihan Bismillah ini, tapi tak ramai yang amalkan," ujarnya.
Dalam pada bercerita mengenai gaya hidupnya, penulis sempat bertanya mengenai kehidupannya sebelum merdeka.
Kagum dengan semangat dan perjuangannya, tok ki berkata, susah payah dan jerih perih orang terdahulu mendapatkan kemerdekaan pada hari ini.
"Betapa beruntungnya orang-orang sekarang sebab semuanya mudah.
"Tak macam zaman dulu, nak bercucuk tanam pun payah. Dulu... dapat makan ubi kayu pun dah bersyukur, tapi tengoklah orang sekarang," ceritanya dalam keadaan sedikit sugul.
Ceritanya lagi, pada era Jepun dulu, kehidupan mereka terlalu terhimpit.
"Susah... Nak keluar rumah tak boleh sewenang-wenangnya.
"Anak-anak zaman sekarang cukup bertuah sebab segala kesenangan ada depan mata, berbanding kehidupan dulu terutamanya sebelum merdeka.
"Sayangnya tok ki tengok rasa cintakan tanah air, semangat patriotik tu pudar," katanya.
Bagi tok ki kemerdekaan yang dicapai tidak semudah yang disangka dan harus dijadikan azimat dalam diri setiap orang menghargai perjuangan orang terdahulu.
"Bukan senang tau kita nak capai kemerdekaan hingga dapat hidup tenang, harmoni begini... kalau bukan kita yang sayangkan negara ini sendiri siapa lagi?," katanya yang akan selalu memasang Jalur Gemilang di hadapan rumah setiap kali menjelang 31 Ogos.
Besar harapan tok ki agar generasi hari ini lebih menghargai dan menyayangi tanah air ini.