SHAH ALAM - Pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berpandangan peluang bagi wanita untuk menjadi Perdana Menteri sentiasa ada.
Menurutnya, jika kita lihat pada hari ini pun Timbalan Perdana Menteri adalah seorang wanita dan Malaysia adalah negara demokrasi di mana tugas Perdana Menteri itu bukan menjadi panglima perang.
"Saya yakin wanita mempunyai potensi tetapi bakat kepimpinan itu perlu dicungkil terlebih dahulu. Saya dalam parti menjadi mentor kepada wanita muda dan membawa mereka bersama ke mana saya pergi. Saya perlukan masa untuk bimbing dan didik kerana kalau tidak berbuat begitu, mereka tidak melalui proses berkembang dan memahami peranan pemimpin. Itu semua perlu tunjuk ajar dan jika ramai melakukan begitu kita boleh cungkil lebih ramai bakat wanita.
"Jumlah ahli Parlimen wanita meningkat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi kesannya itu belum dapat dirasakan. Parlimen adalah tempat di mana kita membuat keputusan paling tinggi dalam negara. Suara wanita amat penting kerana mereka boleh membawa perspektif berbeza daripada lelaki.
"Cara wanita melihat sesuatu perkara itu berbeza. Contohnya jika lelaki bercakap tentang pembangunan mereka akan melihat kepada soal pulangan pelaburan. Berbeza dengan wanita mereka akan melihat kepada kesan pembangunan tersebut kepada anak-anak, masa depan dan sebagainya.
"Kajian daripada United Nation (UN) mengatakan bahawa ada perbezaan dalam penglibatan wanita dalam membuat keputusan yang membawa penambahbaikan dalam perkara itu. Perkara tersebut melibatkan minimum penglibatan wanita sebanyak 30 peratus dan terbaik apabila kita boleh capai sehingga 50 peratus. Ini kerana populasi penduduk dunia ini seimbang antara lelaki dengan wanita.
Apabila jumlah lelaki dan wanita sama dalam membuat keputusan, maka ia seimbang.
"Saya kira parti berbeza, peranan wanita juga berbeza. Seawal penglibatan saya dalam PKR, pandangan kaum lelaki adalah wanita hanya perlu berada di sayap wanita sahaja. Tidak ada tempat bagi wanita di arus perdana parti. Itu merupakan budaya dalam parti-parti politik lain sebelum ini.
"Jawatan pertama saya dalam parti adalah Ketua Wanita PKR dan saya bawa agenda bahawa peranan wanita bukan setakat memperjuangkan agenda kaum ini sebaliknya penglibatan mereka perlu ada dalam menentukan agenda keseluruhan ummah dan negara," katanya.