SEJAK awal bulan lalu, penulis mengikuti sekuel drama di saluran HBO mengenai tragedi letupan loji kuasa nuklear di Ukraine iaitu Chernobyl pada 26 April 1986.
Perjalanan drama separuh dokumentari pada awalnya agak perlahan dan sukar menimbulkan rasa keterujaan kepada mereka yang belum pernah mengetahui atau terbaca akan kisah Chernobyl, namun penulis yakin majoriti rakyat Malaysia sedia maklum akan insiden menggemparkan dunia pada pertengahan 1980-an itu.
Terfikir penulis, seandainya Malaysia memiliki loji nuklear mirip Chernobyl dan nak dijadikan cerita tercetus pula letupan dahsyat pada ketika ini, apa yang akan kita lakukan?
Dengan saiz Malaysia kira-kira 329,847 kilometer (km) persegi berbandingbekas Soviet Union, ke mana kita nak lari?
Minggu pertama letupan, kira-kira 100km lingkungan dari loji jana kuasa itu diisytiharkan kawasan darurat.
Di atas kertas laporan kerajaan kuku besi Soviet itu, sejumlah 53,000 penduduk di sekitar Kiev dan kawasan terdekat dipindahkan dan dalam tempoh tersebut dua orang mati (pekerja di loji jana kuasa nuklear Chernobyl).
Selang dua jam letupan, seramai 52 penduduk dikejarkan ke hospital akibat pening, mual (seperti tertelan serbuk besi) dan pitam.
Dipendekkan cerita, kesan letupan Chernobyl itu meragut kira-kira 985,000 nyawa sejak ia mula tercetus iaitu antara 1986 sehingga 2004.
Bayangkan keadaan mangsa yang terdedah radiasi nuklear secara langsung.
Dengan kemudahan perubatan tidak secanggih kini, mangsa hanya diberi morfin untuk mengurangkan rasa sakit yang setiap saat menghakis kulit, isi dan tulang-temulang mereka.
Tahukah anda kesan letupan itu masih ada sehingga kini di negara itu? Lihat sahaja generasi kini di Ukraine dan sebahagian wilayah Eropah yang dilahirkan cacat anggota badan. Itulah kesan radiasi kepada genetik manusia.
Tanggal 2 Disember 1984, satu lagi detik menyedihkan agak serupa kesannya berlaku di Bhopal, Madhya Pradesh, India. Berlaku kebocoran pada sistem penyimpanan gas kilang racun serangga Union Carbide.
Menurut akhbar tempatan, sejumlah 42 tan metrik gas metil isosianat terbebas ke udara mengorbankan 3,787 orang dalam sekelip mata dan ternakan mati bergelimpangan. Lebih 500,000 penduduk sekitarnya pengsan, muntah, mual dan pening.
Penduduk di wilayah Bophal pada ketika itu langsung tidak tahu kejadian kebocoran gas di kilang racun serangga membahayakan nyawa mereka. Telefon bimbit dan internet sepantas kilat tiada pada masa itu.
Pada 2006, kerajaan India mengesahkan kebocoran gas kilang Union Carbide itu menjejaskan kehidupan sejumlah 558,125 rakyatnya. Seramai 38,478 mangsa mengalami kecederaan dan 3,900 orang lagi cacat kekal.
Lebih memilukan sejumlah 8,000 nyawa melayang dalam tempoh dua minggu insiden berlaku dan 8,000 lagi sakit berterusan sehingga maut menjemput akibat dilemaskan gas beracun.Untuk rekod, kilang yang dimiliki sebahagian kerajaan India mendakwa operasi mereka disabotaj dan alasan itu serupa dengan kejadian di loji janakuasa nuklear Chernobyl, Ukraine.
Selepas pertubuhan hak asasi manusia India berhempas-pulas memperjuangkan hak mangsa, akhirnya seramai tujuh ‘orang penting’ kilang Union Carbide termasuk Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusinya dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda AS$2,000 (RM8,207) setiap seorang kerana mengakibatkan lebih 10,000 kematian.
Menariknya kesemua tertuduh dibebaskan sebaik sahaja membayar denda.
Kita kembali ke negara tumpah darahku Malaysia. Tahun ini sahaja dua kali kita dikejutkan dengan insiden agak serupa tetapi cara berbeza iaitu pencemaran di Pasir Gudang, Johor.Kejadian pertama pada Mac dan kedua pula awal Jun lalu. Kira-kira 6,000 penduduk terjejas sehingga ada yang koma akibat terhidu gas beracun dari Sungai Kim-Kim yang tercemar.
Akhbar dan portal tempatan melaporkan, sepanjang 1.5km sungai itu mengandungi bahan kimia yang dimuntahkan premis-premis industri di Pasir Gudang.
Selang tiga bulan, sebanyak 475 institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia di daerah itu diarah tutup serta-merta sehingga 27 Jun lalu selepas lebih 10 pelajar dan murid pitam, muntah serta pening.
Untuk rekod, sembilan suspek pembuangan sisa toksik di Pasir Gudang ditahan dan kes masih dalam siasatan.Pasir Gudang ibarat bom jangka yang tunggu masa untuk meletup, bukan meletup dengan api tetapi gas beracun.
Bila sudah sampai waktu itu, rasanya sudah tidak berguna untuk kita terkebil-kebil mencari punca atau si pelakunya. Cubalah ambil iktibar daripada kejadian sebelum ini.