PANDEGLANG - INDONESIA. Presiden Joko Widodo (Jokowi) meluangkan masa melawat provinsi Banten yang teruk dilanda tsunami pada malam Sabtu lalu.
Jokowi tiba di Labuan, Kabupaten Pandeglang, Banten menggunakan helikopter EC725 Caracal milik Tentera Nasional Indonesia (TNI), ditemani Menteri Sosial Agus Gumiwang Kartasasmita, Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Basuki Hadimuljono,dan Komander TNI, Marshal Hadi Tjahjanto.
Setibanya di sana beliau diberi penerangan tentang tsunami berkenaan dan kawasan yang dilanda bencana terbabit.
Selepas Labuan, Jokowi dan rombongannya dijadual menuju lokasi lain yang turut terjejas akibat tsunami yang dicetuskan oleh letusan Gunung Berapi Anak Krakatau, beliau juga berkesempatan bertemu mangsa yang ditempatkan di pusat rawatan.
"Dalam lawatan ini, Presiden Jokowi mahu memastikan kesan akibat tsunami dapat ditangani dengan cepat dan berkesan, terutama pemindahan mangsa dan perkhidmatan kesihatan," ujar Timbalan Protokol, Pers, dan Media Sekretariat Presiden, Bey Machmudi dalam satu kenyataan.
Pandeglang merupakan lokasi paling teruk dilanda tsunami, berdasarkan data diperolehi dari Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), jumlah korban di Pandeglang mencecah 207 dari sejumlah 281 mangsa yang maut.
Secara keseluruhan, tsunami Selat Sunda juga mengakibatkan 1,016 mangsa cedera, 57 lagi hilang sementara 11,867 lagi kehilangan tempat tinggal.
Tsunami Sunda turut memusnahkan sejumlah 611 unit rumah, 69 buah hotel-vila, 60 kedai dan sekurang-kurangnya 420 kapal dan bot.
"Data korban dan kerosakan ini diperolehi dari lima daerah dilanda tsunami termasuk Pandeglang, Serang, Lampung Selatan, Tanggamus dan Pesawaran," kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho hari ini. - Detiknews