KUALA LUMPUR - Seorang mak nyah warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam aktiviti persundalan antara yang ditahan bersama 20 wanita dalam serbuan Ops Noda sekitar Wisma Indah, Jalan Tun Razak, di sini semalam.
Operasi bermula jam 8.30 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.
Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, dua premis yang dipercayai aktif menjalankan aktiviti pelacuran diserbu dan seramai 20 wanita serta seorang mak nyah ditahan.
Katanya, semakan mendapati tangkapan melibatkan warga China (12), Vietnam(4), Indonesia (3) dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 24 hingga 50 tahun.
"Selain itu, lima lelaki terdiri daripada warga Bangladesh (2), tempatan (2) dan Indonesia yang berperanan sebagai penjaga di kedua-dua premis berkenaan turut ditahan.
"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut," ketika ditemui di lokasi berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Hedzir mendedahkan, premis berkenaan menyasarkan pelanggan warga asing dan tempatan dengan bayaran serendah RM50 hingga RM90 bagi setiap langganan.
Tambahnya, sindiket tersebut turut dikesan mengupah beberapa individu untuk mengawasi kawasan terbabit dipercayai bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 372 (1)(f) kanun yang sama, 39b Peraturan Imigresen, Sekyen 6 (1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 15(1) akta yang sama," katanya.