Ada pihak panik bila dalang video intim hampir didedahkan

Iklan
Zuraida

SHAH ALAM - Ada pihak gelabah dan panik apabila polis semakin hampir mendedahkan dalang di sebalik penyebaran klip video intim yang didakwa melibatkan pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin.

Zuraida turut mempersoalkan ahli politik yang menurutnya setiap hari mengulas isu klip video intim berkenaan sedangkan polis sedang melakukan siasatan.

Iklan
Iklan

"Ketika siasatan polis makin menjurus menghampiri dalang di sebalik kes ini, terdapat tanda-tanda gelabah dan panik yang jelas di kalangan sesetengah pihak. Mengapakah sesetengah golongan ahli politik ini saban hari memberi komen sedangkan siasatan sedang berjalan dan kian menghampiri kemuncak terhadap pelakunya?

"Pihak polis sewajarnya diberikan ruang untuk menjalankan tugasan mereka tanpa sebarang tekanan politik daripada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Iklan

Beliau turut mengungkit bahawa klip video intim yang mengaitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah disebarkan namun pemimpin PKR bersatu mengecam ia sebagai konspirasi politik.

"Kini individu yang pernah mengambil ketetapan tersebut seolah mendukung politik longkang seperti ini dengan kononnya berhujah tentang ketulenan video!.

Iklan

"Malah lebih teruk lagi, individu yang mendesak cuti sementara dari posisi tugasan kerajaan ini adalah orang yang sama yang hanya berdiam diri apabila video intim yang melibatkan Anwar Ibrahim ditebar ke seluruh pelosok negara

"Kesemua kami termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdiri teguh bersama Anwar pada waktu itu. Atas semangat reformasi, kami menolak politik longkang yang menjijikkan ini. Kini apa yang sudah terjadi dengan semangat membina politik bersih dan membina negara,” katanya.

Justeru, Zuraida mendesak semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat kepentingan sendiri dan peribadi.

"Sebaliknya biarkan pihak berkuasa menjalankan tugasan mereka dengan teliti, menyeluruh dan penuh profesional,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saran bercuti secara sukarela: Shamsul Iskandar

Semalam, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan medianya menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku supaya bercuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi sehingga siasatan ke atas mereka selesai sepenuhnya.

Beliau juga mempersoalkan proses penyiasatan polis berhubung video seks itu yang menurutnya ‘beralih kepada penyebaran video intim dan bukannya ketulenan video’.

Meskipun tidak menyebut secara langsung, kenyataan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada Azmin yang dikaitkan dengan video intim sejenis bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.