KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terpulang kepada mana-mana pemimpin untuk bercuti atau meneruskan tugas selagi belum dibuktikan bersalah.
" Ya...anda boleh ambil cuti atau teruskan. Anda tidak bersalah sehingga dibuktikan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan ‘Beyond Paradigm Summit’ di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang meminta agar mana-mana pemimpin yang didakwa terbabit dengan salah laku agar bercuti secara sukarela bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa.
Shamsul dalam kenyataan media sebelum ini dilaporkan berkata tindakan itu penting bagi memberi ruang siasatan dijalankan sepenuhnya dengan bebas dan adil.
Ketika ditanya mengenai penahanan seorang pegawai kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dua lagi lelaki berhubung siasatan penyebaran video lucah yang didakwa membabitkan dengan seorang menteri, Dr Mahathir berkata"...ini pertama kali saya dengar (mengenainya).”
Mengulas mengenai sama ada tangkapan itu mengakhiri politik kotor, Dr Mahathir berkata semuanya ini adalah tentang politik dan bukan tentang mendedahkan salah laku seseorang.
"... ini tentang politik untuk menghalang kejayaan seseorang dalam politik. Ini adalah komplot politik yang memang bertujuan menghalang seseorang daripada berjaya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai permintaan China untuk melakukan rundingan mesra berhubung tindakan Malaysia menyita lebih daripada RM1 bilion daripada akaun bank China Petroleum Pipeline Engineering (CPP) sebuah syarikat milik negara itu, Dr Mahathir berkata Malaysia sentiasa bersedia untuk berunding dengan China sepanjang masa.
Menyentuh tentang ulang tahun kelima tragedi pesawat pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh, Dr Mahathir berkata Malaysia masih bersedih dengan perkara yang dilakukan dengan sengaja itu.
"Kita berasa sedih kerana ini satu perkara yang dilakukan secara sengaja itu, tetapi kita tidak tahu siapa yang melancarkan roket itu,” katanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Saran bercuti secara sukarela: Shamsul Iskandar