JOHOR BAHRU - Seorang warga emas terjatuh ke dalam gaung sedalam tiga meter ketika hendak memetik pokok herba dalam kejadian berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Jalan Tanjung Labuh, Batu Pahat semalam.
Mangsa, Chua Yu Kong, 85, berjaya diselamatkan pihak bomba selepas kejadian itu disedari sekumpulan remaja sekitar jam 5 petang.
Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Omar Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 5.56 petang dan tujuh anggota berserta dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian, terdapat seorang mangsa telah terjatuh ke dalam gaung pada kedalaman tiga meter ketika hendak memetik pokok herba.
"Mangsa berseorangan ketika kejadian dan dipercayai terjatuh akibat permukaan tanah yang licin dan tidak rata. Sekumpulan remaja yang lalu di kawasan tersebut menghubungi 999 untuk memohon bantuan.
"Pasukan bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan untuk menaikkan mangsa ke kawasan selamat," katanya di sini hari ini.
Omar berkata, mangsa dinaikkan dengan menggunakan 'bucket strecher' dan tali menyelamat.
Katanya, tahap kecederaan mangsa tidak dapat dipastikan dan pihak bomba memberikan rawatan bantu mula serta memakaikan C-Collar di bahagian leher.
"Kerja-kerja penyelamatan dilakukan dalam masa anggaran 15 minit.
"Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Hospital Sultanah Nora Ismail untuk rawatan lanjut," katanya.