KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terkejut dengan penahanan setiausaha politiknya yang juga Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi membantu siasatan kes penyebaran video intim mirip menteri kanan Kabinet yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk mengendalikan siasatan tersebut dengan telus dan profesional.
Kata Anwar, polis tentunya mempunyai alasan tersendiri berhubung penahanan itu tetapi menegaskan PKR masih kekal kukuh walaupun berhadapan cabaran.
"Saya tidak dimaklumkan selain apa yang terdapat dalam laporan media. Perkara itu dalam proses siasatan, jadi kita serahkan kepada tindakan polis.
ARTIKEL BERKAITAN: Farhash ditahan bantu siasatan, bukan pesalah: PKR Perak
"Saya memang terkejut sebab tak tahu mengapa (ditahan). Seperti mana kita sebut pendirian parti selama ini adalah untuk menyerahkan kepada pihak polis dan mahu supaya keadilan diberikan kepada pelaku serta perencananya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Tiga lelaki termasuk pengerusi PKR sebuah negeri yang didakwa Farhash Wafa Salvador ditahan polis di Pasir Gudang, Johor semalam bagi membantu siasatan kes penyebaran video intim mirip menteri kanan Kabinet.
Kesemua suspek berusia antara 29 dan 37 tahun itu yang seorang daripadanya setiausaha politik dijangka dibawa ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan permohonan reman, hari ini.