MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka meminta orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tawaran barang percuma oleh individu tidak dikenali yang menggunakan nama Exco sebagai sokongan.
Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim Siew Lin berkata, pihaknya menerima aduan seramai 50 ahli Sahabat Amanah Ikhtiar Melaka (AIM) Melaka Tengah nyaris ditipu oleh seorang lelaki yang menawarkan mesin jahit percuma jenama Singer.
Beliau berkata, individu yang dikenali sebagai Shaikh Hussein Shaik atau Hussin Mahmud berusia 50 tahun itu didakwa menggunakan surat yang turut mendapat sokongan daripada pihaknya untuk meyakinkan kumpulan berkenaan.
"Saya kesal individu berkenaan menggunakan nama saya sebagai Exco untuk tujuan penipuan. Saya ingin menegaskan saya tidak terlibat dalam kes penipuan itu dan meminta orang ramai berhati-hati.
"Saya juga akan membuat satu laporan polis yang mengaitkan saya dengan projek pemberian mesin percuma itu sedangkan perbincangan di antara individu itu dengan pihak saya tidak pernah berlaku," katanya.
Siew Lin berkata demikian di luar Dewan ketika sesi penangguhan Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sebelum itu didatangi individu terbabit di pejabat Exco pada 3 Jun lalu kemudiannya menerima emel daripada individu terbabit.
Bagaimanapun beliau tidak memberi sebarang maklum balas dan kesal apabila jawatannya sebagai Exco dipergunakan individu tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Ketua Lembaga Perwakilan Sahabat AIM, Intan Zunika Husain berkata, beliau bersama ahlinya yang berada di pejabat AIM Melaka Tengah ketika itu didatangi lelaki terbabit dan menawarkan pemberi mesin jahit, namun perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM2,000 selain menaburkan janji akan menerima keuntungan sebanyak RM40,000.
Menurutnya, pada mulanya ramai bersetuju kerana dimaklumkan pemberian mesin jahit itu menerusi program khidmat masyarakat daripada urusetia korporat Malaysia kepada Exco berkenaan.
"Kami ditabur kata-kata manis dilantik sebagai pembekal pengedar mesin jahit terbabit, namun timbul syak wasangka apabila mendesak kami membuat bayaran dalam tempoh minggu ini.
"Nasib tiada seorang ahli yang membuat transaksi kepada akaun individu itu dan dia juga gagal dihubungi sebelum memanjangkan perkara itu kepada YB Siew Lin," katanya.