PETALING JAYA - Lima individu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas tuduhan merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, Disember lalu.
Mohammad Shahril Danniel Sajel, Mohammad Saifullah Abdullah, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Aziz dan Mohd Norul Ismawi Islahuddin mengaku tidak bersalah.
Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama- sama 13 yang telah dituduh dan beberapa lagi masih bebas didapati berada dalam rusuhan dan memiliki parang, kapak, pisau serta kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kuil berkenaan, di USJ 25, Seafield, di sini antara jam 2 pagi dan 5 pagi, pada 26 November lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah mencadangkan RM10,000 sebagai jaminan.
Majistret membenarkan jaminan RM5,000 terhadap Muhammad Shahril manakala RM6,000 bagi Muhammad Saifullah, Muhammad Hasneezam, Akmal Izzat dan Mohd Norul Ismawi.
Kes disebut semula pada 17 Januari depan.