Negeri Sembilan ambil serius teguran audit

Iklan
Aminuddin Harun

SEREMBAN - Kerajaan negeri memandang serius terhadap setiap teguran yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, berkaitan pengurusan aktiviti dan kewangan jabatan, serta agensi negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebanyak 11 jabatan atau agensi negeri yang dijalankan Pengauditan Pengurusan Kewangan oleh Jabatan Audit Negara.

Iklan
Iklan

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak lima jabatan mencapai tahap cemerlang manakala enam lagi mencapai tahap baik dan melepasi syarat.

"Tiada ketidakpatuhan yang serius terhadap isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

Iklan

"Bagaimanapun tindakan penambahbaikan akan dilakukan bagi memastikan pengurusan kewangan kerajaan negeri di tahap cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, mengulas mengenai teguran kerja Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS) yang gagal mencapai objektif ditetapkan, Aminuddin mengakui perkara itu memang ada berlaku.

Katanya, secara amnya penyelenggaraan menyeluruh sesebuah kolam takungan bagi mencapai semua objektif memerlukan peruntukan sebanyak RM80,000 bagi sebuah kolam.

"Bagaimanapun berdasarkan peruntukan yang ditetapkan setiap tahun bilangan yang dapat dilaksanakan secara menyeluruh adalah terhad.

"Oleh itu, skop kerja penyelenggaraan dipilih dan dirancang mengikut keutamaan bagi tujuan menyelesaikan aduan penduduk dan bagi membolehkan lebih banyak kolam diselenggara,” katanya.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, menegur kerja penyelenggaraan Saliran Mesra Alam menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS) yang gagal mencapai objektif ditetapkan kerana tidak dilaksanakan dengan cekap dan kaedah yang berkesan.

Menerusi laporan itu, walaupun sebanyak 281 kerja penyelenggaraan dilaksanakan berbanding 45 yang disasarkan, bidang kerja yang dilaksanakan tidak menyeluruh dan gagal mengikut kekerapan seperti perancangan yang ditetapkan.