Tiga beranak tinggal dalam bengkel usang

Iklan
Keadaan dapur rumah yang hampir menyembah bumi dan tidak selamat digunakan.- Gambar kecil: Engku Nariza

MACHANG - Kepayahan hidup memaksa tiga beranak di jalan lama Machang -Kuala Krai di sini tinggal di kedai membasuh kereta usang yang diubahsuai hasil ihsan keluarga.

Engku Nariza Engku Abdullah, 39 berkata dia tinggal di rumah usang yang terletak berdekatan Balai Bomba dan Penyelamat Machang tersebut sejak 12 tahun lalu biarpun ia tidak layak dipanggil tempat tinggal.

Iklan
Iklan

Katanya, dia tidak mampu bekerja akibat masalah kesihatan dan bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan dan ihsan orang ramai.

Tambahnya, dua anaknya yang berada di tingkatan satu dan darjah lima juga sering ke sekolah tanpa wang saku akibat kesempitan wang.

Iklan

"Adakalanya saya mengambil upah mencuci rumah orang namun jika tidak sihat, saya tak mampu berbuat apa-apa. Nak berjalan di dalam rumah pun adakalanya tak mampu.

"Kalau saya sihat, saya akan hantar anak bongsu ke sekolah berdekatan berjalan kaki namun jika tidak mampu, abangnya yang hantar dengan basikal," katanya yang pernah koma selama tiga bulan selepas melahirkan anak bongsu pada 2017.

Iklan

Kata Engku Nariza, setiap kali hujan lebat, rumah yang berbumbung bata lama itu akan basah dan mereka bertiga tiada pilihan lagi selain bertahan di rumah itu.

Katanya, dia berharap mampu memiliki rumah yang lebih selesa dan selamat demi anak-anak yang masih muda dan memerlukan kemudahan untuk belajar.

Jelasnya, meskipun anak-anak tidak pernah mengeluh dan memahami kepayahan hidup mereka namun dia tetap mengharapkan yang terbaik untuk mereka.

"Rumah ini tidak mempunyai tandas dan dapur. Bahagian dapur yang ada hampir runtuh dan tidak boleh digunakan lagi.

"Saya harap sangat ada pihak yang sudi membaiki rumah kami dan menyediakan rumah yang selesa kepada kedua-dua anak lelaki saya meskipun kecil," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan badan bukan kerajaan, Tabung Beras 8 Asnaf di sini semalam.