IPOH - Empat peguam dilantik mewakili Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersama tiga lagi individu yang ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.
Mereka terdiri daripada, Baldip Singh, Harjit Singh, Datuk SS Gill dan Khairul Anwar Musa.
Baldip yang mengetuai pasukan berkenaan berkata, pada 11.30 pagi hari ini, tiga individu tersebut dibawa dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk direman.
Katanya, perintah reman dibuat di Balai Polis Dang Wangi bagi siasatan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
"Pada awalnya pihak polis memohon perintah reman selama tujuh hari daripada pihak majistret namun kami membantah.
"Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, pihak majistret mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.ARTIKEL BERKAITAN: Video intim: Setiausaha politik Anwar direman empat hari
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan penahanan Farhash dan seorang lagi individu selama empat hari bagi membantu siasatan.
Farhash Wafa dan seorang individu ditahan sehingga Sabtu manakala seorang lagi individu dibebaskan.
Dalam pada iatu, Baldip yang juga Naib Pengerusi PKR Perak berkata, pihaknya terkejut dengan penahanan Farhash Wafa itu.
Katanya, fokus penyiasatan polis seharusnya menjurus kepada ketulenan video dan bukan dalang kepada penyebaran video tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan mengikuti kes berkenaan secara dekat bagi memastikan siasatan dilakukan secara adil.