SHAH ALAM - Mahkamah Koroner menetapkan 24 Julai depan sebagai sebutan bagi permohonan bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung punca kematian anaknya.
Koroner, Rofiah Mohamad menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman A Wahab memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi kes tersebut.
Terdahulu, Rofiah berkata, pemohonan tersebut masih dalam proses.
"Saya belum menerima dan meneliti permohonan itu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Adib fail permohonan komital heret Tommy ke mahkamah
Semalam, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Mahkamah Koroner hari ini.
Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Penguam Negara pada 3 April lalu.
Pada 15 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk menjadi pemerhati dalam inkuri tersebut setelah Tommy menyatakan kecederaan dialami Muhammad Adib bukanlah dipukul pada perenggan ke-5 dan 6 afidavit tersebut.
Muhammad Adib, 24, parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.