Madrasah diarah pindah mohon sumbangan

Iklan
Pelajar Madrasah Darul Tahfiz Sri Al Ain, Kampung Kubu Gajah mungkin akan diserap ke cawangan berhampiran sekiranya tiada lokasi baharu dalam masa terdekat.

SUNGAI BULOH -Pengurusan Madrasah Darul Tahfiz Sri Al Ain, Kampung Kubu Gajah memohon sumbangan orang ramai bagi membantu proses pemindahan pelajar di pusat pengajian terbabit susulan arahan pengosongan premis yang diterima sebelum ini.

Pengasas dan mudir madrasah berkenaan, Datuk Muhammad Zakaria berkata, pihaknya menerima notis daripada Pejabat Tanah dan Galian Petaling pada 25 Jun lalu yang mengarahkan supaya premis tersebut dikosongkan dalam tempoh 60 hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, arahan pemindahan adalah bagi membolehkan projek pembesaran sungai bersebelahan madrasah itu dilaksanakan untuk mengatasi isu banjir di sini.

"Disebabkan itulah kami memohon sumbangan orang ramai atau badan korporat bagi membantu memudahkan proses pemindahan anak-anak ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya sedang mencari lokasi baharu berhampiran kawasan itu untuk menempatkan pelajar-pelajar madrasah berkenaan.

Muhammad Zakaria berkata, pihaknya bercadang untuk menyerapkan pelajar terlibat di cawangan madrasah yang terletak berhampiran kawasan itu sekiranya gagal mencari lokasi baharu dalam masa terdekat.

Iklan

"Kita ada beberapa cawangan seluruh Malaysia dan cawangan paling dekat dengan kawasan itu adalah di Prima Damansara dan Kepong.

"Namun bagi pelajar yang jauh, mereka mungkin perlu menetap di asrama kami yang disediakan," katanya.

Katanya, pihaknya akur dengan arahan pemindahan itu dan menjangkakan tempoh yang diberikan tersebut juga mencukupi bagi mengosongkan premis terbabit.

Sementara itu, seorang tenaga pengajar di madrasah terbabit, Noor Asyhikin Ibrahim berkata, dia merasa amat sedih apabila mengetahui madrasah itu perlu berpindah ke lokasi lain bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek tersebut.

Katanya, selain menjadi tempat menuntut ilmu, madrasah terbabit juga merupakan seperti rumah kedua buat pelajar-pelajar di sini yang kebanyakkan terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

"Bukan sahaja tenaga pengajar, anak-anak di sini juga sedih apabila mengetahui madrasah yang beroperasi sejak tahun 2012 bakal dikosongkan selepas ini," katanya.

Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Darul Tahfiz Sri Al-Ain: 5643 9711 6075 (Maybank) atau berhubung terus dengan pengurusan talian 0164208344.